Tamatkan lantikan politik perkara biasa – KSN

Tamatkan lantikan politik perkara biasa – KSN

MOHD. ZUKI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penamatan lantikan politik yang dibuat kerajaan terdahulu adalah perkara biasa, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Mengesahkan perkara itu ke­pada Utusan Malaysia, beliau berkata, tindakan itu sama seper­ti yang dilakukan sebelum ini di mana ada perubahan sejurus berlaku peralihan kerajaan.

Secara dasar, pemimpin sya­rikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah lantikan politik semasa kerajaan tersebut mentadbir negara dan akan memegang tempoh kuasa berkenaan selagi kerajaan itu berkuasa.

“Penamatan hanya pada lan­tikan politik seperti contoh pe­lantikan kontrak di pejabat menteri,” katanya semalam.

Surat pegawai yang kontraknya ditamatkan tersebar termasuk lantikan politik dengan badan berkanun Persekutuan, GLC, syarikat Kementerian Kewangan (Diperbadankan), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan institusi utama.

Surat berkenaan dipetik dari­pada Mohd. Zuki berhubung perkara berkenaan.

Dalam surat itu, jemaah menteri dalam mesyuarat Kabinet pada 14 Disember memutuskan supaya Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah bagi badan berkanun Persekutuan/Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan)/GLC/GLIC lantikan politik untuk ditamatkan dengan segera.

Sebagai contoh, sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), sementara Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Labuan Port Authority (Lembaga Pelabuhan Labuan, LPA).

Selain itu, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh dilantik sebagai Pengerusi Sustainable Energy Development Authority (Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari, SEDA) pada Julai 2019 dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau dilantik sebagai Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) pada Oktober 2019.

Dalam perkembangan berkaitan mengenai penstrukturan di empat kementerian, Mohd. Zuki berkata, tiada isu berbangkit berhubung penstrukturan penjawat awam melibatkan empat kementerian yang digabungkan.

“Penamatan kontrak bagi pegawai yang sedang ber­khidmat adalah tidak berbangkit kerana akan terus berkhidmat selagi tempoh dan perkhidmatan pegawai berkuat kuasa,” katanya.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia kelmarin di mana kerajaan dijangka melakukan penstrukturan semula penjawat awam termasuk kakitangan kontrak bermula hujung bulan ini.

Sumber kerajaan memberitahu ia melibatkan ratusan kakitangan di empat kementerian yang digabungkan susulan pengumuman barisan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Empat kementerian tersebut adalah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB); Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP); Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Kementerian Wilayah Persekutuan dan KPLB kini digabungkan menjadi Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah, diletakkan di bawah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Begitu juga KeTSA dan KASA yang digabungkan menjadi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mengulas lanjut, ketika di­tanya adakah penstrukturan itu dapat menjimatkan kos, Mohd. Zuki berkata, ia dibuat bagi penyelarasan fungsi dan tiada pertindihan peranan di setiap kementerian.

“Penstrukturan semula kementerian-kementerian yang terlibat dilaksanakan secara holistik bagi tujuan penyela­rasan fungsi, pengurangan pertindanan tugas serta mengurangkan tingkatan birokrasi yang boleh menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan bersepadu serta kecekapan sumber, sama ada dari segi aspek aset, kewangan mahupun modal insan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya