Stor haram simpan 36,300 liter minyak diesel bersubsidi diserbu - Utusan Malaysia

Stor haram simpan 36,300 liter minyak diesel bersubsidi diserbu

TANGKI petak berisi minyak diesel bersubsidi disita dalam serbuan oleh KPDN di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Anson, Teluk Intan semalam. - UTUSAN/IHSAN KPDN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Taktik sindiket membeli minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak di daerah ini untuk dijual semula secara haram kepada industri gagal, apabila tempat penyimpanan barang kawalan itu diserbu pihak berkuasa semalam.

Serbuan pada pukul 10.45 pagi itu dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Teluk Intan di Kawasan Perindustrian Anson dekat sini.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, serbuan dilakukan susulan risikan oleh anggota penguat kuasa di premis berkenaan selama seminggu.

Katanya, hasil pemeriksaan di premis itu menemukan 41 tangki petak (square tank) berkapasiti 1,000 liter dipercayai berisi minyak diesel selain sebuah lori dengan muatan dua tangki petak berisi bahan bakar berkenaan.

“Berdasarkan siasatan, premis itu disyaki beroperasi dalam tempoh sebulan tanpa memiliki sebarang lesen mahupun kebenaran untuk menyimpan barang kawalan minyak diesel.

“Siasatan juga mendapati, sindiket ini akan membeli minyak diesel di stesen minyak di sekitar Teluk Intan di mana ia akan dikumpul di stor haram ini sebelum dijual kepada pihak industri di negeri di sempadan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, dua lelaki berusia 42 dan 45 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut akan diteruskan dengan mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat.

“Dalam serbuan itu, kita telah bertindak menyita sebanyak 36,300 liter minyak disyaki diesel dan sebuah lori dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM78,045. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya