XIAN (China): Koperasi di rantau Asia Pasifik tidak lagi boleh kekal di tahap perbincangan semata-mata, sebaliknya perlu segera beralih kepada pelaksanaan kerja yang nyata dan berimpak dalam aktiviti perdagangan rentas sempadan.
Peralihan ini amat kritikal bagi memastikan setiap jaringan kerjasama yang dibina tidak hanya bersifat simbolik tetapi benar-benar diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang konkrit.
Demikian antara inti pati ucapan aluan Presiden Angkasa, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam Forum Akses Pasaran Koperasi Asia Pasifik 2026 di Xi’an, China pada 27 April 2026.
Forum yang berlangsung selama dua hari bermula 27 April 2026 itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP serta dihoskan oleh All China Federation of Supply and Marketing Cooperatives (ACFSMC).
“Selama ini kita telah banyak membina hubungan strategik melalui sesi perbincangan. Namun keutamaan kini adalah memastikan setiap usaha tersebut membawa kepada kerjasama dan perdagangan sebenar yang memberi nilai sebenar kepada anggota koperasi.
“Persekitaran perdagangan global hari ini semakin mencabar, tetapi pada masa yang sama turut menawarkan pelbagai peluang baharu.
“Koperasi mempunyai peranan yang unik kerana kita bukan sahaja dipacu oleh matlamat ekonomi, malah berteraskan nilai bersama, keterangkuman dan manfaat bersama.
“Platform seperti ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghubungkan koperasi, memperluas jaringan dan membuka ruang kepada peluang perdagangan yang boleh dilaksanakan,” kata Abdul Fattah yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO).
Beliau juga menegaskan bahawa aspek kesiapsiagaan pasaran menjadi faktor kritikal dalam memastikan kejayaan koperasi menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.
“Malah, satu pernyataan minat yang kecil boleh menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih besar, dengan syarat disusuli tindakan dan komitmen,” katanya.
Forum Akses Pasaran Koperasi Asia Pasifik 2026 dilaksanakan dalam format Learning Lab (makmal pembelajaran) yang menggabungkan pembentangan berstruktur, penilaian produk secara praktikal serta perbincangan perdagangan interaktif.
Pendekatan ini membolehkan peserta memperoleh pemahaman pasaran, menilai kesiapsiagaan produk, memahami jangkaan pasaran, berkongsi amalan terbaik serta meneroka peluang kerjasama secara lebih konkrit.
Turut berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP yang pertama bagi tahun 2026 pada 26 April 2026 yang dipengerusikan oleh Abdul Fattah.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Angkasa merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP, Datuk Abdullah Jusoh yang membentangkan cadangan pembangunan platform digital bersepadu dikenali sebagai CoopTrade Asia sebagai langkah ke arah penyelesaian yang lebih tersusun dan berpusat.
Platform tersebut berfungsi sebagai sistem bersepadu untuk mengumpul, mengurus dan memudah cara akses kepada data perdagangan koperasi di peringkat Asia Pasifik sekali gus meningkatkan keterlihatan produk, memudah cara jaringan perniagaan serta memperluas peluang perdagangan rentas sempadan.
Beliau menjelaskan bahawa platform tersebut dibangunkan berasaskan Pelan Strategik Tiga Tahun (2022–2024) yang memberi tumpuan kepada pengumpulan maklumat produk dan perkhidmatan koperasi serta pembinaan pangkalan data serantau bagi memperkemas urusan perdagangan.
Menurutnya, inisiatif awal termasuk pelaksanaan kajian perdagangan dan perniagaan yang dilancarkan pada 2023 bagi mengumpul data berkaitan aktiviti jual beli, penggunaan platform e-dagang serta potensi kerjasama dalam kalangan koperasi di rantau ini.
Data yang diperoleh kemudiannya diperkemas dan divisualisasikan melalui sistem analitik bagi memberikan gambaran lebih jelas mengenai landskap perdagangan serantau serta membantu proses membuat keputusan yang lebih berkesan.
Hasil daripada usaha berterusan itu, cadangan pembangunan CoopTrade Asia diperkenalkan sebagai langkah ke arah penyelesaian yang lebih tersusun dan berpusat.
Sebanyak sembilan agenda telah dibentangkan dalam mesyuarat tersebut termasuk pengesahan minit mesyuarat terdahulu di Colombo, Sri Lanka pada 25 November 2025, pengenalan serta pengesahan ahli baharu, Bayouda Agricultural Cooperative Society dari Jordan, serta perkembangan terkini untuk pelan aktiviti jawatankuasa bagi tahun 2026.
Selain itu, delegasi Angkasa yang diketuai Abdul Fattah turut mengadakan pertemuan dua hala dengan ACFSMC yang diketuai Presidennya, Wang Yuyan pada 26 April 2026.
Dalam pertemuan tersebut, Angkasa mencadangkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak sebagai langkah memperkukuh kerjasama strategik.
MoU berkenaan dilihat penting dalam menyediakan kerangka jelas bagi memperluas kerjasama, khususnya dalam bidang perdagangan dan perniagaan koperasi sekali gus membuka lebih banyak peluang kolaborasi antara Malaysia dan China. – UTUSAN









