Sokongan besar terhadap Anwar dorong keyakinan pelabur

Sokongan besar terhadap Anwar dorong keyakinan pelabur

Sokongan dua pertiga daripada ahli Parlimen terhadap Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri akan memberi keyakinan pelabur terhadap negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penguasaan kerajaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat penting bukan sahaja untuk menjamin kestabilan negara, tetapi mendorong keyakinan pelabur yang sentiasa mengutamakan kepada dasar kerajaan agar sentiasa kekal dan tidak ‘flip flop’ atau berubah-ubah.

Hal ini kerana majoriti tipis menyebabkan kedudukan kerajaan menjadi rapuh dengan berkemungkinan tarik sokongan sama ada membabitkan parti atau ahli Parlimen boleh berlaku pada bila-bila masa sekali gus berpotensi mengulangi episod lama pertukaran kerajaan dalam tempoh satu penggal.

Kali terakhir blok kerajaan memperolehi sokongan dua pertiga iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004 yang ketika itu menyaksikan Barisan Nasional (BN) secara solo memperoleh 198 daripada 219 kerusi Dewan Rakyat.

Namun keadaan itu berubah bermula Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) hingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Pasca PRU14 menyaksikan berlaku tiga kali pertukaran Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal ekoran tiada parti tunggal memperoleh majoriti mudah menubuhkan kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, silih ganti peralihan pentadbiran selepas PRU14 secara tidak langsung menghakis keyakinan pelabur asing apabila keadaan itu menyebabkan dasar kerajaan sentiasa ‘flip flop’ atau berubah mengikut pihak pemerintah.

Justeru, menurut beliau, pada PRU15 ramai pelabur sedang melihat peluang memasuki Malaysia untuk melabur.

Beliau menjelaskan, kestabilan politik merupakan asas penting kepada keyakinan pelabur dan pengukuhan ekonomi setelah melihat keupayaan pentadbiran untuk membentuk dasar tetap dan tidak berubah.

“Justeru, mana-mana parti politik perlu menang PRU14 dengan majoriti selesa tanpa membentuk kerajaan campuran atau erti kata lain, sebuah parti perlulah menang antara 120 dan 130 kerusi secara solo demi menjamin kestabilan kerajaan.

“Tetapi ini tidak berlaku selepas PRU15 namun kerajaan perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mendapat sokongan 148 iaitu majoriti dua pertiga menerusi kerjasama politik dalam pembentukan kerajaan,” katanya.

Pembentangan usul undi percaya serta pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat antara tumpuan hari pertama persidangan Parlimen semalam bagi kerajaan perpaduan diterajui Anwar.

Dalam pada itu, Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, formula kerajaan yang stabil ialah sebelum PRU14 di mana BN pada itu menang dengan selesa walaupun tidak mendapat majoriti dua pertiga.

“Tetapi pada Pilihan Raya Umum Ke-11, kerajaan BN pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap paling stabil apabila menang dua pertiga dan menguasai 90 peratus kerusi Parlimen,” katanya.

Bagaimanapun katanya, bermula PRU12 perkara itu terhakis pada satu demi satu pilihan raya apabila BN sudah tidak menguasai dua pertiga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN