Skuad Musa'adah agih RM5.3 juta bantuan mangsa banjir

Skuad Musa’adah agih RM5.3 juta bantuan mangsa banjir

MOHD. Na'im Mokhtar melepaskan konvoi Skuad Musa'adah Agensi bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dataran Kompleks Islam, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Barangan keperluan asas dan sumbangan wang tunai bernilai RM5.3 juta kepada mangsa banjir di Pantai Timur, akan diedarkan 100 sukarelawan Skuad Musa’adah agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia adalah peruntukan melibatkan lima agensi iaitu Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Yayasan Waqaf Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Yayasan Taqwa dan Lembaga Tabung Haji.

Katanya, sebanyak 14 kenderaan agensi terbabit digerakkan ke Pantai Timur dengan membawa barangan keperluan asas seperti makanan kering, beras, selimut, al-Quran dan kit solat.

“Selain bantuan wang tunai dan barangan keperluan, skuad ini juga akan bantu aktiviti gotong-royong untuk membersihkan rumah mangsa banjir. 

“Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk segerakan bantuan kepada mangsa banjir di negeri terjejas iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelepasan konvoi bantuan banjir di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata, Skuad terbabit turut disertai pegawai yang akan menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan kerohanian bagi memberikan suntikan kekuatan dalaman kepada mereka yang sedang diuji. 

“Skuad ini akan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk mendapatkan maklumat mangsa yang belum menerima sebarang bantuan.

“Kerjasama ini perlu untuk pastikan bantuan tidak bertindih, ini yang kita nak pastikan supaya mangsa yang belum terima bantuan akan terima sumbangan skuad ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pendakwah bebas, Siti Afifah Shahbudin yang didakwa kerap mengeluarkan kenyataan berkaitan hukum agama sehingga mengundang pelbagai reaksi warganet, Mohd Na’im berkata pihaknya akan menggunakan kaedah musyawarah yang dilihat sesuai digunakan untuk menasihat. 

“Saya rasa kita perlu guna pendekatan ini. Agama Islam mengajar kita untuk menegur dalam bentuk nasihat. Harapan saya agar beliau dapat dengar nasihat untuk cari jalan penyelesaian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya