Sindiket edar heroin tumpas, 8 suspek termasuk 3 pengawal keselamatan ditahan - Utusan Malaysia

Sindiket edar heroin tumpas, 8 suspek termasuk 3 pengawal keselamatan ditahan

LEE CHONG CHERN menunjukkan sebahagian daripada dadah jenis heroin yang dirampas dalam beberapa serbuan baru-baru ini dalam sidang akhbar di IPD) Seberang Perai Selatan, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Lapan lelaki termasuk tiga pengawal keselamatan diberkas dalam serbuan berasingan selepas disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah jenis heroin di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Lee Chong Chern berkata, tiga daripada suspek iaitu pengawal keselamatan tersebut ditangkap dalam serbuan pertama kira-kira pukul 10.30 malam, Selasa lalu di Batu Kawan.

Katanya, hasil soal siasat terhadap ketiga-tiga suspek kemudian membawa kepada penemuan lima bungkusan dadah jenis heroin seberat 2,305 gram bernilai RM25,000 yang disorokkan di tepi pagar sebuah kilang di Batu Kawan, beberapa jam kemudian.

“Susulan serbuan dan tangkapan yang dilakukan, polis menyerbu dua lagi lokasi iaitu di Bukit Tambun kira-kira pukul 2.20 pagi, Rabu lalu dan Kubang Semang di Seberang Perai Tengah sejam kemudian.

“Dua lelaki tempatan yang dipercayai ahli sindiket turut ditahan di kedua-dua lokasi untuk membantu siasatan, namun tiada sebarang rampasan dibuat ketika itu,” katanya dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, di sini hari ini.

Chong Chern berkata, serbuan berikutnya kemudian dibuat kira-kira pukul 9 malam, Rabu lalu di Persiaran Gurney, Georgetown yang mana tiga lagi suspek diberkas.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, dua bungkusan dadah jenis heroin seberat 910 gram bernilai RM10,000 turut dirampas.

“Ketika ditahan, kesemua lapan suspek yang berusia lingkungan 19 hingga 50 tahun didapati positif dadah dan tujuh daripada mereka juga mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

“Risikan mendapati, sindiket pengedaran dadah ini dipercayai bergiat aktif sejak pertengahan tahun ini dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 16,075 penagih sekiranya terlepas ke pasaran,” katanya.

Jelas Chong Chern, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup atau boleh dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan.

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila tiga buah motosikal bernilai RM21,800 turut disita dalam serbuan berkenaan sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM56,800.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan lain yang berkaitan selepas ini,” ujar beliau.

Tambahnya, ketika ini, tiga tangkapan pertama direman selama enam hari bermula Rabu lalu hingga 2 Januari depan manakala lima lagi suspek direman selama tujuh hari hingga 3 Januari depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.