MELAKA: Kenyataan dibuat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman bahawa tindakan menggantung pelbagai barangan niaga pada struktur siling di Bazar Kraftangan, Dataran Pahlawan, di sini sebagai punca siling runtuh mendapat reaksi negatif peniaga terlibat.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, majoriti peniaga di bazar berkenaan mengakui ‘pening kepala’ dan kesal mendengar penjelasan tersebut, lantas meminta Rahmad turun sendiri bertemu mereka melihat apa sebenarnya terjadi.
Seorang peniaga, Abdul Rahim Embi, 55, berkata, siling di kedainya yang runtuh dalam kejadian Ahad lalu langsung tidak digantung barangan seperti didakwa.
“Siling yang runtuh dan hampir mencederakan pekerja dan pelanggan berpunca daripada kebocoran. Ia berpunca dari lantai bahagian atas Dataran Pahlawan itu sendiri yang sudah berlanjutan begitu lama.
“Beliau boleh datang dan biar saya tunjukkan sama ada bebanan barang yang kami gantung di siling adalah punca utama ataupun tidak. Kami hanya gantung barangan kecil yang tidak memberi bebanan kepada siling. Namun siling itu runtuh berpunca daripada kebocoran dari lantai atas apabila kawasan itu dijadikan tempat parkir kereta.
“Gegaran daripada kenderaan yang masuk ke parkir membuatkan struktur siling makin lama makin mengendur,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, genap setahun laporan akhbar ini berkenaan masalah yang dihadapi para peniaga Bazar Kraftangan yang berdepan masalah saluran pembentungan sejak 17 tahun lalu, kini tragedi siling runtuh pula menimpa mereka.
Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, sikap para peniaga yang menggantung pelbagai barangan niaga pada struktur siling didakwa menjadi antara punca siling bazar itu runtuh.
Katanya, Bazar Kraftangan yang diuruskan badan pengurusan bersama (JMB) sebelum ini mengeluarkan notis larangan berhubung perkara itu, namun tidak diendahkan.
Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Fikri Nizam Ramli, 27, berkata, pihak berwajib dan kerajaan negeri perlu mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak sebelum membuat sebarang kenyataan.
“Saya berniaga sejak bazar ini mula dibuka hingga hari ini, masalah kebocoran dan kawasan bahagian atas dijadikan tempat parkir sebenarnya punca utama siling itu runtuh.
“Saya berharap Exco turun padang bertemu dengan semua 70 peniaga bagi mendapat maklumat sebenarnya dan jangan hanya dengar dari pihak pengurusan,” jelasnya. – UTUSAN








