Sidang DUN Johor: 17 projek sakit di Johor

Sidang DUN Johor: 17 projek sakit di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 17 projek sakit dan tujuh projek terbengkalai dikenal pasti oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, kerajaan negeri bertindak sebagai pemudah cara bagi menyelesaikan masalah yang dialami pembeli melibatkan projek yang berada di bawah kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, antara projek sakit itu ialah Taman Setia Indah, Taman Kota Jaya dan Taman Residensi Kota Tinggi.

MOHD. JAFNI MD. SHUKOR

“Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama membantu memulihkan projek perumahan sakit serta bertindak sebagai pemudah cara membantu pelikuidasi dan kontraktor penyelamat untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi teknikal serta pihak yang berkepentingan.

“Hal ini dapat dilihat kerajaan negeri memberikan komitmen dalam memantau serta memberikan kelulusan sehingga ke peringkat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan penyerahan kunci.

“Ini melibatkan projek sakit Taman Setia Indah (639 unit) dan Taman Kota Jaya (87 unit) dapat diselesaikan sehingga penyerahan kunci,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan dan ADUN Panti, Hahasrin Hashim dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini. 

Mengulas lanjut, Mohd. Jafni yang juga ADUN Bukit Permai berkata, projek sakit yang bakal diselesaikan pada awal tahun depan melibatkan 625 unit di Taman Residensi Kota Tinggi yang dimajukan oleh pihak PR1MA.

Katanya, usaha itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri sangat penting dalam memastikan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri dapat membantu dalam menyelesaikan isu projek sakit.

“Pihak KPKT turut mengambil tindakan menyenarai hitam pemaju-pemaju yang menyebabkan projek perumahan terbengkalai, yang terlibat dengan projek sakit, yang gagal membayar kompaun, pemaju-pemaju ingkar dan pemaju-pemaju perumahan tanpa lesen.

“Apabila disenarai hitam, pemaju dan ahli lembaga pengarah syarikat terbabit tidak boleh memohon lesen dan permit iklan dan jualan. Senarai pemaju-pemaju yang disenarai hitam turut dipaparkan dalam laman sesawang KPKT untuk rujukan pembeli dan pemegang taruh yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya