Sedut keluar lebihan pati pewangi, henti operasi muka sauk LRA Sungai Semenyih

Sedut keluar lebihan pati pewangi, henti operasi muka sauk LRA Sungai Semenyih

AIR Selangor menggerakkan lori-lori tangki agihan bagi memastikan kelangsungan bekalan air di kawasan terjejas terutama di premis awam seperti hospital. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Lebihan pati pewangi di lokasi kemalangan disedut keluar segera oleh Indah Water Konsortium (IWK) dan menghentikan operasi muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sehingga kesan bau hilang sepenuhnya.

Itu antara cadangan dikemukakan bagi memastikan bahan tercemar tidak terus tersebar susulan henti tugas LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi akibat pencemaran pati pewangi awal pagi tadi.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata, cadangan lain termasuk menggunakan bahan jerap jenis ‘Activated Carbon’ untuk mengurangkan kesan bau kepada air mentah di Sungai Limau Manis.

Menurutnya, antara cadangan lain bagi memastikan pemulihan segera termasuk melepaskan air dari Empangan Semenyih untuk mencairkan kesan cecair pewangi dan memantau kualiti air di hulu muka sauk LRA Sungai Semenyih secara kerap.

“Buat masa ini, jangkaan waktu pemulihan belum dapat dipastikan kerana air mentah di lokasi perlu diuji dan mesti berada pada tahap 0 TON sebanyak tiga kali ujian sebelum ianya boleh digunakan sebagai sumber air untuk diproses.

“Sehingga pukul 2.00 petang tadi, bau masih dikesan dengan kadar 8 TON dab perkembangan lanjut akan dimaklumkan kepada pengguna oleh Air Selangor dari masa ke masa,” katanya.

Katanya, SPAN bersama beberapa agensi lain seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Indah Water Konsortium (IWK), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor telah berada di lokasi bagi menjalankan siasatan dan kerja-kerja mengawal bahan tercemar dari terus merebak.

Jelasnya lagi, Air Selangor mengambil langkah segera dengan menutup kesemua pintu bendungan air dalam usaha memastikan tiada bahan tercemar masuk ke dalam loji melalui kaedah mengalirkan kesan yang ada ke hilir bagi tujuan bilasan.

Dalam pada itu, SPAN berkata, IWK telah menjalankan kerja-kerja nyah enap cemar sebagai langkah segera bagi memastikan pencemaran dapat dikawal segera.

Pada waktu sama, katanya, Air Selangor telah menggerakkan lori-lori tangki agihan bagi memastikan kelangsungan bekalan air di kawasan terjejas terutama di premis awam seperti hospital.

“Pengendali lebuh raya telah menjalankan kerja pemasangan penghadang di lokasi kemalangan manakala pihak bomba pula telah menjalankan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Sebelum ini, LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas awal pagi tadi berpunca daripada bahan cecair berupa pati pewangi yang mengalir masuk ke alur air hingga menyebabkan berlakunya pencemaran bau yang dikesan di Stesen Pam Air Mentah, Jenderam Hilir, Sepang, Selangor.

Insiden itu berpunca dari kemalangan di Lebuhraya ELITE di KM44.1 arah Utara melibatkan sebuah lori yang membawa muatan pati pewangi.

Insiden ini telah menyebabkan gangguan bekalan kepada 274 kawasan dengan anggaran sekitar 300,000 (sekitar 1.5 juta pengguna).

Gangguan bekalan air mulai berlaku bermula pukul 7.00 pagi tadi di lima kawasan iaitu Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.