Salahuddin akui telur ayam tiada di pasaran

Salahuddin akui telur ayam tiada di pasaran

SALAHUDDIN AYUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu ketiadaan bekalan telur ayam di pasaran seluruh negara ketika ini turut diakui sendiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Malah beliau dalam sidang akhbar pertama selepas melaporkan diri di kementerian itu di sini hari ini juga bergegas ‘turun padang’ meninjau senario itu di sebuah pasar raya besar di ibu negara.

“Insya-Allah saya memang akan pergi ke sana selepas ini untuk tengok sendiri keadaan isu telur ayam dan cuba dapat maklumat perkembangan sebenar apa berlaku dari lapangan,” katanya selepas bertukar nota serah tugas dengan penyandang sebelumnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang dilantik dalam Kabinet baharu berpindah ke Kementerian Kerja Raya.

Isu telur ayam mula ‘panas’ diperkatakan masyarakat semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 apabila banyak kedai runcit dan pasar raya yang melaporkan kehabisan bekalan secara tiba-tiba.

Anehnya, situasi kembali pulih dengan menyaksikan lambakan produk itu namun ramai mengadu stok dijual kemungkinan besar bekalan lama yang sengaja disorok pihak pemborong atau peniaga.

Bagaimanapun stok berkenaan juga cepat habis di pasaran akibat sikap pembelian panik oleh para pengguna menjelang cuti persekolahan yang panjang akhir tahun ini dan perayaan Krismas.

Sebahagian besar masyarakat mengesyaki ada berlaku ‘permainan’ oleh pihak kartel kerana telur dijual adalah jenis lama sehingga mengakibatkan harga runcit semasa melonjak begitu mendadak.

Mengulas lanjut, Salahuddin mengakui ketiadaan stok itu mencetuskan keresahan kepada rakyat dan merencatkan pertumbuhan ekonomi kerana banyak kegiatan bisnes yang memerlukan telur.

“Saya sedar proses pengeluaran telur juga ambil masa enam bulan daripada seekor anak ayam sehingga bertelur berbanding tempoh ayam pedaging yang paling lama pun hanya 42 hari,” katanya.

Pada masa sama, beliau yakin kepakaran dalam negara yang melibatkan pelbagai agensi awam dan pemain industri tempatan berupaya mencipta inovasi bagi penyelesaian masalah berkenaan.

Justeru, beliau memberi jaminan akan meneliti beberapa solusi dicadangkan termasuk isu harga, tempoh kawalan, kaedah subsidi, pengeksportan dan kos produksi terutamanya input ternakan.

Beliau namun melahirkan kehairanan kerana Malaysia merupakan pengeluar telur ayam terbesar di rantau Asia Tenggara dengan sekitar 113 peratus lebih daripada keperluan sara dalam negara.

Malahan ujarnya, hampir 300 ladang ternakan ayam di seluruh negara ketika ini berupaya dalam memenuhi keperluan permintaan 30 juta biji telur sehari sehingga ada lebihan boleh dieksport.

Sehubungan itu, beliau berusaha memastikan isu itu tidak berulang lagi dan akan mengadakan beberapa mesyuarat dengan pasukan kementerian sebelum dibentangkan kepada Perdana Menteri.

Langkah sewajarnya itu tegas Salahuddin amat perlu digerakkan seberapa segera yang boleh kerana kementerian tersebut turut menjadi urus setia bagi Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara.

Bagaimanapun tambah beliau, segala dasar, program dan inisiatif yang dilaksanakan kementerian itu sebelum ini akan diteruskan sekiranya terbukti banyak memberi kesan positif kepada rakyat.

“Saya juga akan kerap bersama dengan rakyat untuk mendapatkan ‘first hand information’ dan mengadakan sesi libat urus agar pelan tindakan efektif dapat dilakukan kementerian ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.