SERDANG: Industri ternakan negara akan kekal di takuk lama apabila wujud agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang kini dimonopoli oleh para pegawai dalam jurusan yang sama iaitu veterinar.
Ini kerana pegawai-pegawai tersebut hanya mempunyai kepakaran yang cenderung dalam aspek perubatan veterinar dan kurang terlibat dalam aspek ternakan asas sumber makanan.
Sedangkan agensi tersebut memerlukan kepakaran dalam pelbagai bidang lain khususnya pengurusan ternakan sumber makanan, pengurusan perniagaan, pembangunan sumber manusia serta pemasaran bagi meningkatkan industri tersebut.
Bekas pensyarah Sains Haiwan, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Azhar Kasim berkata, kebanyakan pegawai kerajaan yang menjadi pembuat keputusan pada masa ini adalah dalam kalangan pemegang ijazah sarjana muda veterinar yang mana kurikulum peringkat fakulti menyediakan pengajaran 10 peratus sahaja dalam bidang produksi ternakan manakala 90 peratus lagi dalam bidang perubatan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu membuka ruang kepada siswazah bukan veterinar seperti pemegang ijazah sarjana muda sains haiwan, ijazah sarjana muda pengurusan dan pemasaran untuk bersama-sama menyumbang buah fikiran dalam merancang pembangunan industri ternakan negara kerana mereka lebih faham mengenai industri itu.
“Kita ada enam buah universiti awam yang menghasilkan siswazah dalam bidang ternakan iaitu sains haiwan tetapi mereka ini terpaksa pergi ke sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana tidak mendapat tempat di jabatan kerajaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenal pasti beberapa sumber dari luar untuk menampung keperluan bekalan telur ayam dalam negara dengan kadar segera untuk pelan jangka pendek.
Menterinya, Mohamad Sabu berkata, inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar itu bukan untuk menekan pengusaha industri tempatan sebaliknya bagi memastikan bekalan dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga.
Ditanya mengenai keperluan mengimport telur ayam, kata Azhar, Malaysia tidak memerlukan formula import makanan khususnya telur ayam kerana bidang ternakan dalam negara mempunyai potensi untuk dimajukan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Selain itu, Malaysia juga masih mempunyai kawasan ladang dan penternakan yang luas selain mempunyai pengalaman yang jauh lebih tinggi dalam menghasilkan telur ayam berkapasiti tinggi.
Jelas beliau, import telur ayam hanya merugikan negara kerana berlaku pengaliran keluar mata wang asing selain produk import yang tidak dijamin kualitinya.
“Kita terlalu fokus terhadap produk luar seperti lembu susu import, daging import, kambing import, bebiri import dan ayam daging import. Jadi, baka tempatan tidak berkembang dan kita rugi dari segi pertukaran mata wang.
“Saya berjaya membuat kajian dalam menambah baik baka ayam kampung asli yang mampu meningkatkan pengeluaran, jadi, kenapa tidak dibuat untuk haiwan-haiwan lain sehingga berjaya seperti yang dilakukan di negara-negara luar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Menurut Azhar lagi, agensi-agensi kerajaan juga perlu mempunyai komunikasi yang baik dengan pemain industri ternakan sendiri untuk mengumpul golongan bijak pandai dan mempunyai pengalaman yang tepat dalam membantu merangka projek rancangan masa hadapan.
Katanya, kekurangan atau ‘loophole’ akan wujud dalam polisi yang digubal sekiranya anggota kerajaan tidak mempunyai ilmu mencukupi mengenai industri ternakan sehingga mengganggu bekalan makanan negara.
Tambah Azhar, negara patut mencontohi negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang mempunyai pelbagai baka tempatan sendiri dan sentiasa menambahbaik baka tempatan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Jelasnya, di negara ini, walaupun Majlis Baka Unggas Negara sudah pun diwujudkan, tetapi badan tersebut tidak bergerak dan dimanfaatkan dengan baik.
“Negara kita mempunyai pakar yang berpotensi menjalankan R&D untuk memajukan industri ternakan sehingga mampu menjadi pengeksport besar ke negara luar.
“Buktinya, menurut data diterbitkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Malaysia mengeksport 13,241,038 ekor ayam hidup ke Singapura sepanjang tahun ini setakat 30 April lepas” ujarnya. – UTUSAN










