Rezeki tambahan daripada barangan terpakai

Rezeki tambahan daripada barangan terpakai

ZULKIFLI Husin menyusun bekas pokok hiasan yang dihasilkannya dengan menggunakan barangan terpakai yang dikutip sendiri di sekitar Kangar, Perlis, semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang warga emas menjana pendapatan tambahan dengan menghasilkan bekas pokok hiasan menggunakan bara­ngan terpakai yang dikutip di sekitar daerah ini.

Zulkifli Husin, 64, menggunakan barangan terpakai seperti botol pencuci pakaian bagi menghasilkan bekas pokok hiasan itu mengikut kreativiti tersendiri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zulkifli berkata, dia mampu menjana pendapatan sekitar RM150 hingga RM200 setiap bulan menerusi jualan bekas pokok hiasan itu bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Sambutan diterima sangat menggalakkan khususnya daripada sekolah atau tadika yang mahukan bekas pokok hiasan menggunakan barangan terpakai ini.

“Jika pembelian secara borong, saya menjual de­ngan harga RM7 setiap satu manakala harga biasa yang ditetapkan adalah RM10 setiap satu,” katanya.

Zulkifli berkata, dia memulakan usaha menghasilkan bekas pokok hiasan sejak 2016 atas minat dan dorongan daripada rakan-rakannya.

Menurutnya, dalam tempoh seminggu, dia mengutip barangan terpakai itu antara empat ke lima kali menggunakan beca yang diubah suai di sekitar daerah ini.

“Walaupun menjalankan perkhidmatan menjual barangan nurseri, saya kekal fokus memanfaatkan bakat yang diberikan ini sebagai sumber pendapatan tambahan. Syukur kerana bekas pokok hiasan ini semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat,” katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, ramai kenalannya membantu dengan menghantar terus bekalan barangan terpakai ke rumahnya selepas menge­tahui tentang minatnya menghasilkan bekas pokok hiasan tersebut. –UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.