PRU15: Tidak berlaku pertukaran undi walau seorang mengalah

PRU15 Padang Serai: Tidak berlaku pertukaran undi walau seorang mengalah – Saifuddin

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Pertukaran undi daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya tidak akan berlaku di Padang Serai serta Tioman walaupun salah seorang calon memberi laluan kepada ‘rakan’ mereka.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu didorong gelombang kemarahan rakyat kepada kedua-dua parti itu yang memasuki pusingan kedua selepas mereka membelakangkan prinsip masing-masing.

Katanya, perkembangan itu juga akan membawa kepada pembinaan momentum sokongan yang lebih kuat kepada Perikatan Nasional (PN) terutama di Kedah dan Pahang.

“Kita yakin walaupun ada main tolak-tolak antara calon BN dengan PH yang sudah berlaku di Tioman dan katanya akan berlaku di Padang Serai, saya tidak menjangka berlaku pertukaran undi (antara kedua-dua parti).

“Saya rasa mereka (pengundi) lebih kecewa (selepas) kemarahan pusingan pertama dalam pilihan raya lepas, sekarang ini pusingan kedua, (jadi) bertambah sebab untuk dia marah.

“Yang pertama (marah) kepada BN yang salah guna kuasa. Sekarang dia marah sebab berkawan (BN-PH),” katanya kepada pemberita selepas hadir pada kempen calon PN Padang Serai di Taman Mahsuri, Padang Serai.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin yang juga Pengerusi PN Pahang berkata, penerimaan sokongan daripada rakyat terhadap parti itu semakin meningkat disebabkan beberapa faktor termasuk ‘Parti Abah’ yang membawa prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil.

“Orang masih ingat Abah (Tan Sri Muhyiddin Yassin), waktu kempen (sebelum ini) setengah orang keliru antara PN dan BN, apabila katakan ini parti Abah orang faham, jadi maknanya imej itu masih kuat,“ katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin mengingatkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk tidak memutar belit cerita membabitkan pembentukan kerajaan negeri itu dengan memburukkan imej PN.

Menurutnya, kisah pembentukan kerajaan Pahang menjadi bukti PN mengamalkan sikap tolak ansur, namun dibalas dengan kesombongan BN yang mahukan PH bersama dalam pentadbiran meskipun komposisi tertinggi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) memihak kepada PN.

“Ceritanya betapa kami bertolak ansur, itu mesejnya. Cerita yang sebenar juga adalah betapa sombong Wan Rosdy apabila (dalam) pusingan ketiga perbincangan dengan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (beliau) mengatakan BN (akan menjadi) Menteri Besar dan dua kerusi Exco kepada PH, satu kepada PN.

“Lebih baik tak payah berunding, orang (yang menang) 17 kerusi boleh dapat satu Exco, orang lapan kerusi dapat dua Exco, tidak ada logik dalam dunia mengatakan begitu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya