PPS diaktifkan lebih awal - Ahmad Zahid

PPS diaktifkan lebih awal – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bilangan 3 Tahun 2022 di Perdana Putra, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengaktifkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) lebih awal di seluruh negara sebagai persiapan berdepan banjir yang dijangka bermula akhir minggu ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, fokus utama pastinya kepada kawasan yang dijangkakan mengalami jumlah taburan hujan tinggi yang menyebabkan berlakunya banjir.

Beliau berkata, acuan baharu persiapan itu berdasarkan ramalan METMalaysia iaitu sebelum berlaku banjir di kawasan berkenaan.

“Ini adalah langkah baharu. Ia bagi mengelakkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda atau kehilangan dokumen penting.

“METMalaysia memaklumkan ada tiga kawasan utama yang bakal mengalami taburan hujan tinggi iaitu kawasan Timur Semenanjung Kelantan dan Terengganu, pantai Timur Sabah dan pantai Barat Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JBPB) di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga melibatkan badan sukarelawan untuk bersama-sama dalam menangani dan membantu pengurusan banjir.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, penyelarasan perlu dilakukan antara kementerian, jabatan dan agensi bersama badan sukarela ini supaya ia dapat dikendalikan secara holistik.

Dalam pada itu, katanya, beliau sudah mengarahkan agar agensi pusat melayani sama rata kerajaan negeri pembangkang terutama dalam soal pengurusan banjir.

Katanya, soal kesaksamaan dan keadilan mesti dilakukan tanpa mengira negeri itu diperintah oleh pihak mana kerana ia bertujuan menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya menyelesaikan masalah politik.

“Ini bukan pendekatan baru kerana saya biasa lakukan ketika saya mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa ini pada pimpinan kerajaan dahulu.

“Pada hemat saya, pendekatan ini turut dipegang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga mahu ia dilakukan demi rakyat, kesaksamaan dan keadilan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat hari ini turut membincangkan penyelesaian jangka masa panjang dalam menangani isu banjir termasuk penyediaan tebatan banjir secara holistik.

Katanya, biarpun ia akan membabitkan kos besar, namun apabila siap kelak ia bakal membabitkan persediaan pengurusan banjir sepanjang tempoh sehingga 2100.

“Penyelesaian jangka masa panjang membolehkan pengurusan taburan hujan yang lebih berkesan terutama membabitkan kawasan yang berada bawah aras laut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya