PN bagi RM50,000 setiap calon pada PRU15 lalu - Hamzah - Utusan Malaysia

PN bagi RM50,000 setiap calon pada PRU15 lalu – Hamzah

HAMZAH Zainuddin (kiri) ketika berucap pada Ceramah Rakyat di hadapan terminal bas Bandar Baru Rompin di Rompin, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Setiap calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu diperuntukkan dana RM50,000 seorang dan sumber itu bukan datang daripada syarikat perjudian.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, jika mempunyai sumber kewangan yang banyak, gabungan tersebut akan menang besar bukan setakat 73 kerusi Parlimen yang diperoleh pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Oleh kerana mereka takut akan peristiwa yang telah pun ditempuhi dalam PRU15 baru-baru ini, maka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim keluarkan kenyataan seolah-olah bahawa dalam kempen kita jutaan ringgit telah dikeluarkan oleh PN dan duit datangnya daripada tauke judi. Masya-Allah.

“Saya nak maklumkan betul kita bagi duit, saya ni Setiausaha Agung PN dan ada ramai calon (PN) yang ada depan saya, kita bagi RM50,000 (sahaja) seorang calon.

“Kalaulah saya ada duit daripada kaki judi saya ingat bukan hanya menang 73 kerusi (Parlimen), hak Barisan Nasional (BN) yang ada 30 kerusi itu pun kita sapu habis tapi sebab tak cukup duit, modal kurang. Sebab itulah kita tak dapat menang banyak tu saja,” jelasnya pada Ceramah Rakyat di hadapan terminal bas Bandar Baru Rompin di sini semalam.

Semalam, Anwar dalam sidang akhbarnya di Putrajaya membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” kata Perdana Menteri semalam.

Hamzah turut menjelaskan hal berkaitan jumlah cabutan khas judi ketika era pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kuasa untuk menentukan dan meluluskan jumlah cabutan adalah di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan dan tidak perlu melalui Kabinet.

“Dia (Anwar) dok kata dalam kerajaan itu (ada) 22 kali cabutan judi, siapa Menteri Kewangan? Tengku Zafrul Tengku Aziz. Kau tanyalah yang berhormat Tengku Zafrul.

“Kabinet mesti tahu? Kepala hotak engkau! Hari ini (semalam) ada mesyuarat Kabinet? Tak ada pun tetapi dia (Anwar) umumkan 22 (cabutan khas judi) turun jadi lapan, maknanya apa? Maknanya hanya Menteri Kewangan berkuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya