PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menggerakkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Federal Reserve Unit (FRU) ke lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, dua tim berkenaan digerakkan ke lokasi kejadian sebagai pasukan bantuan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Kita telah gerakkan tim bencana untuk membantu di lokasi. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan Ketua Polis Daerah kawasan terlibat,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi tadi, dianggarkan seramai 100 orang menjadi mangsa tanah runtuh dalam satu kejadian di tapak perkhemahan berkenaan.
Bagaimanapun, seramai 31 mangsa berjaya ditemukan sementara yang lain dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.24 pagi sebelum mengerah pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dan Rawang ke tempat kejadian.
Dalam maklumat awal, komander operasi melaporkan kejadian tanah runtuh yang berlaku di tepi jalan berhampiran Father’s Organic Farm dan menghempap tapak perkhemahan berkenaan yang berada berdekatan dengannya.
Ketinggian runtuhan dianggarkan 30 meter dengan anggaran keluasan tanah runtuhan 0.4 hektar. – UTUSAN










