PENDANG: Sekumpulan petani di Kampung Tualang di sini merayu pihak terlibat supaya menyelesaikan masalah parit dan saliran terletak berdekatan sawah mereka yang didakwa menjejaskan tanaman padi sejak 2018.
Kumpulan petani itu mendakwa, sejak parit berkenaan dibina, mereka tidak dapat mengusahakan tanaman padi sekali gus kerugian ribuan ringgit setiap musim.
Salah seorang daripada mereka, Mohamad Rodzi Md. Noh, 60, berkata, dia pernah menyuarakan kebimbangan tentang parit tersebut pada 2016 yang didakwa tidak bersesuaian kerana mengakibatkan air bertakung dalam sawah mereka.
“Pembentung konkrit yang dibina di parit tersebut tidak dapat mengalirkan air keluar kerana kedudukannya tinggi. Ia mengakibatkan air dari sungai berdekatan bertakung malah sering banjir.
“Apabila parit dan pembetung ini siap, kami langsung tak dapat menuai hasil. Kadangkala buat juga (tanam padi) ikut musim. Tetapi tak dapat tuai hasil sebab air bertakung. Kalau padi naik pun tak boleh tuai dengan mesin sebab tanah lembut. Kami semua merana dan rugi,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Mohamad Rodzi, mereka pernah membuat aduan kepada pihak berkenaan berhubung perkara itu namun sehingga kini tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Kali terakhir aduan dibuat pada 4 Disember lepas, pihak berkenaan hanya memberi pelbagai alasan. Kami sudah berpuluh tahun mengusahakan bendang di sini tak pernah ada masalah sehinggalah parit ini dibina,” luahnya.
Rakannya, Jalani Mohamed, 60, berkata, dia menanggung kerugian puluhan ribu ringgit setiap tahun apabila sawahnya yang terletak berdekatan parit tersebut tidak dapat diusahakan lagi.
“Kami cuma berharap ada pihak yang datang bertemu dan mendengar keluhan kami. Berbincanglah kerana kami sudah bertahun-tahun menderita. Kalau betul kawasan bendang ini sudah tidak boleh diusahakan lagi bagilah idea lagi bagaimana cara kami dapat menebus guna sawah ini untuk kerja-kerja lain.
“Sudah 40 tahun buat bendang di sini tak pernah ada masalah apapun tetapi sejak 2018 apabila parit dan saliran air ini siap terus bawa masalah,” katanya. – UTUSAN










