BATU PAHAT: Dua peserta yang menyertai program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (Mekar) anjuran Yayasan Petronas dan Yayasan Sejahtera mengharapkan mereka akan terpilih sebagai salah seorang usahawan kecil dalam Program Pembangunan Pemasaran Digital dan Perusahaan Mikro.
Norizan Hamdan, 43, yang mengusahakan makanan sarapan pagi bersama isterinya, Nazrina Hussin, 43, berkata, gerai yang sudah diusahakan sejak 38 tahun lalu di Kampung Seri Belahan, Rengit itu adalah hasil peninggalan datuknya
Katanya, uniknya adalah jualan nasi lemak yang ketika itu dijual pada harga 20 Sen sebungkus pada tahun 1984 tetap diteruskan resipinya dan hanya berharga RM1 sekarang.
“Hasrat kami untuk menyertai program anjuran Petronas ini adalah untuk membaiki taraf hidup kerana melalui gerai warisan keluarga ini kami hanya mampu meraih pendapatan kasar sekitar RM2,000 sebulan.
“Hakikatnya kami amat cemburu dengan kejayaan usahawan lain yang hadir sebagai mentor dalam program ini kerana mereka mampu mencipta perolehan pendapatan lumayan melalui hasil perusahaan yang tidak dijangka,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Mekar anjuran Yayasan Petronas dan Yayasan Sejahtera di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, daripada pendedahan kejayaan mentor-mentor ini, mereka yakin mampu mencipta kejayaan sama sekiranya diberikan peluang menjadi salah seorang peserta terpilih.
Dalam pada itu, pengusaha Daging Arnab sejuk beku, Roslina Arshad, 49, dari Parit Sulong turut menyimpan harapan yang sama bagi meningkatkan lagi taraf kehidupan keluarganya.
Ujarnya, dengan pendapatan bulanan sekitar RM2,500 sebulan bukanlah satu kejayaan bagi seorang usahawan kecil apatah lagi ianya adalah sumber utama pendapatan keluarganya.
“Saya amat yakin dengan program anjuran Petronas ini kerana ianya dapat dilihat daripada mentor-mentor yang dijadikan sebagai model berjaya melalui program sama,” ujarnya. – UTUSAN










