fbpx

Peristiwa besar era baharu politik Malaysia bermula di Tioman

MOHAMAD Sabu (tiga dari kanan) bersalaman dengan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada ceramah umum PRU15 DUN Tioman di kawasan parkir pasar besar Rompin di Rompin, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

ROMPIN: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman medan bermulanya peristiwa besar iaitu kerjasama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan lain-lain parti politik termasuk blok Borneo untuk membina Malaysia baharu di bawah gagasan keharmonian rakyat.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, ceramah umum disertainya sepentas bersama pimpinan BN negeri diharapkan menjadi babak baharu politik di negara ini.

“Kita harap malam ini satu babak baharu politik Malaysia, insya-Allah kerjasama ini masih di peringkat rundingan, nama anak yang lahir kita tak bubuh nama lagi, tapi pasukan kita sedang berbincang BN, PH dan lain-lain (parti), apa-apa kita menamakan pakatan ini, itu kita serah kepada pimpinan kita.

“Tapi sekarang, kita pastikan calon BN menang di DUN Tioman, janji untuk kerja kuat, temui setiap orang beritahu kita akan membela negara yang lebih baik, bila Datuk Seri Anwar Ibrahim ditabal jadi Perdana Menteri kita lihat perutusan datang, yang telefon Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), Sultan Brunei mencemar duli datang sendiri kemudian pergi ke Seri Perdana, doa, balik sekejap sahaja untuk mendoakan kesejahteraan Perdana Menteri kita.

“Sokongan datang dari seluruh dunia dan ringgit pun sudah mula naik sikit, telur ayam pun dah mula ada, mana mereka sembunyikan telur selama ini? Sebab kerajaan sebelum ini memang kerajaan tak ada telur,” katanya ketika berucap pada ceramah umum PRU15 bagi kerusi DUN Tioman di kawasan parkir pasar besar Rompin di sini malam tadi.

Mohamad berkata, era politik Malaysia baharu ini diharap dapat mengembalikan kegemilangan negara ini yang ketika ini jauh ketinggalan berbanding Indonesia dan Vietnam.

“Sepatutnya kita setaraf dengan Korea Selatan, tapi yang perlu kita lawan adalah ketirisan terlalu banyak. Kita harap Datuk Seri Anwar mengotakan janji lawan rasuah, lawan ketirisan insya-Allah Malaysia akan jadi negara yang kuat dan hebat pada masa akan datang.

“Sekurangnya-kurangnya mereka yang jadi pembangkang tak apa kritiklah kami, hentamlah kami tapi berilah peluang kami memerintah lima tahun, janganlah lagi berlaku peristiwa Sheraton. Saya pergi Vietnam sebagai Menteri Pertahanan dalam program Menteri Pertahanan ASEAN, balik Kuala Lumpur kerajaan hilang.

“Mana boleh buat kerja macam ini, sebab itulah biarlah kita memerintah lima tahun, kemudian lima tahun lagi kita lawan dalam pilihan raya, kalau kita menang kamu terima, kalau kamu kalah kamu terima,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan ini akan menerima teguran rakyat begitu juga pembangkang demi membina Malaysia baharu yang lebih baik untuk semua kaum serta agama dan dalam masa sama menjunjung Perlembagaan negara.

“Insya-Allah kita mulakan peristiwa yang besar di Tioman, di Parlimen Rompin ini bermulanya satu kerjasama untuk membina Malaysia baharu di bawah gagasan kita iaitu keharmonian rakyat.

“Anwar sebagai Perdana Menteri dan Kabinetnya akan berusaha untuk memulihkan keadaan Malaysia ini, kita kembali insya-Allah untuk menjadi Tiger Of Asia tidak lama lagi,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN