Pemberian kupon B40 tangani kos sara hidup - Utusan Malaysia

Pemberian kupon B40 tangani kos sara hidup

OPR kekal bantu rakyat dan peniaga mengharungi kehidupan dengan kos sara hidup yang tinggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemberian kupon belian barangan asas kepada golongan B40 dilihat lebih efektif dalam membantu golongan berkenaan berhadapan kenaikan kos sara hidup dan inflasi.

Felo Penyelidik Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mukaramah Harun berkata, mekanisme berkenaan mampu membantu golongan yang disasarkan kerajaan.

Katanya, kupon berkenaan membolehkan golongan B40 membeli barangan keperluan asas di samping dapat mengawal kenaikan harga barang yang mungkin berlaku sekiranya kerajaan terus memberi bantuan tunai kepada rakyat.

“Ya bantuan tunai akan membantu golongan B40 meningkatkan pendapatan pada tahun ini, tetapi dari segi lain pula bila penggunaan meningkat akan lebih meningkatkan harga.

“Jadi jika ingin membantu semasa inflasi sedang tinggi dan supaya hasrat kerajaan tercapai dalam membantu golongan B40 dari aspek mampu membeli barang keperluan asas, mekanisme kupon adalah lebih sesuai.

“Hanya barang asas yang dibolehkan untuk dibeli dengan kupon ini dan pemberian ini lebih efektif,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Dr. Mohamad Idham Md Razak berkata, pelaksanaan subsidi bersasar merupakan mekanisme terbaik berbanding pemberian bantuan tunai buat golongan B40.

“Teorinya kalau bantuan tunai lebih kepada kita panggil mekanisme jangka pendek untuk mengurangkan beban kos sara hidup pengguna, ia bukan jaminan jangka panjang sebab akan bagi tekanan kepada perbelanjaan negara.

“Kalau subsidi bersasar kita tidak boleh salah guna bantuan sebab ia sudah ditetapkan tetapi jika bantuan tunai diberi akan berlaku tiada kawalan kendiri terhadap penggunaan tunai yang diterima,” katanya.

Menurut Mohamad Idham, cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan subsidi bersasar merupakan cadangan yang baik, namun ia perlu diperhalus bagi memastikan pelaksanaanya telus serta efisien.

Jelasnya, kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, Ogos lalu menegaskan agar dua senario perlu menjadi pertimbangan sebelum membuat keputusan pelaksanaan subsidi pukal kepada bersasar perlu diberi perhatian.

“Saya setuju pandangan Gabenor BNM di mana sesuatu yang dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa kajian terperinci akan mendatangkan masalah pada hari kemudian.

“Ini kerana jika negara dan rakyat tidak bersedia akan berlaku isu-isu berbangkit, sebab itu semua kena duduk bersama dan perhalusi cadangan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya