Kaunseling berterusan ahli keluarga mangsa nahas helikopter - Utusan Malaysia

Kaunseling berterusan ahli keluarga mangsa nahas helikopter

NORAINI Ahmad (tengah) menziarahi keluarga Allahyarham Nor Rahiza Anuar di Pangkalan TLDM Lumut hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Anak bongsu kepada Allahyarham Nor Rahiza Anuar, kerap bertanya tentang ibunya yang merupakan antara mangsa tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 23 April lalu.

Perkara itu dinyatakan oleh suami Nor Rahiza, Mohd. Azinor Azizan yang berkata, dia dan ahli keluarga lain cuba menjawab segala pertanyaan anak tersebut.

Dia yang juga berkhidmat dalam TLDM berkata, keluarga itu sudah mula beransur-ansur menerima kenyataan kehilangan Nor Rahiza.

Keluarga itu merupakan antara 10 keluarga mangsa tragedi yang diberi perhatian oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi khidmat kaunseling.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kebanyakan keluarga sudah menjalani dua kali sesi kaunseling.

“Ia tidak akan terhenti setakat ini sahaja selagi mana perlu ada perjumpaan tersebut, ia akan terus kita laksanakan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga Nor Rahiza Anuar di kuarters Pangkalan TLDM Lumut, di sini, hari ini.

Pada kejadian pagi 23 April lalu, dua helikopter bertembung sebelum terhempas semasa menjalani acara raptai lintas hormat di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut yang mengakibatkan 10 anggota TLDM maut.

Noraini berkata, pihak kementerian sentiasa ada untuk mendengar luahan ahli keluarga mangsa yang terkesan akibat nahas tersebut

Semasa pertemuan itu juga, Noraini menyerahkan sumbangan melalui Skim Pemberian Ehsan Yayasan Kebajikan Negara serta barangan keperluan kepada keluarga Allahyarham.

Noraini kemudian menziarahi waris Allahyarham Pegawai Waran II, Muhammad Faisol Tamadun di Seri Iskandar, dekat sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN