LUMUT: Emosi keluarga Leftenan T. Sivasutan, 31, yang terkorban dalam nahas helikopter Selasa lalu, semakin pulih dan beransur baik.
Ibu mendiang, A. Parameswari, 60, berkata kesan trauma akibat kehilangan anak lelaki tunggal dalam keluarga itu, semakin terhakis sekarang berbanding ketika hari kejadian.
“(Emosi) sekarang beransur baik.Kami sentiasa dijaga, ramai pihak mengambil berat dan melawat kami, daripada pihak ‘navy’ (Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kaunselor dan pelbagai agensi dan pihak lain.
“Kaunseling yang diberi pihak kerajaan memang banyak membantu, kami dianggap sebagai ahli keluarga mereka sendiri.
“Jadi, ia sangat efektif, mereka bukan sekadar menjalankan tugas, sebaliknya mereka sangat empati dengan kami,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Noraini Ahmad di kediamannya di Taman Serdang Jaya, Sitiawan di sini hari ini.
Turut berada di rumah itu ialah suaminya, M. Thanjappan, 61, dan balu mendiang, Dr. S. Harshini, 30.
Sebelum ini, media melaporkan keluarga tersebut trauma dan sukar menerima kenyataan kehilangan anak kedua daripada tiga beradik itu yang baru melangsungkan perkahwinan kira-kira empat bulan lalu.
Parameswari juga menjelaskan abu mayat mendiang juga sudah disemadikan di sebuah tempat khas untuk penganut Hindu di Sitiawan selepas tiga hari pembakaran jasad mendiang dilakukan pada Rabu lalu.
Beliau turut menyerahkan kepada balu mendiang membuat keputusan sama ada untuk terus kekal bertugas di tempat baharu di Langkap, Teluk Intan, atau mahu bertukar di tempat lain termasuk di tempat keluarganya di Buntong, Ipoh.
“Bayangkan hari pertama pergi kerja (di Langkap) anak saya (Sivasutan) bawa dan tunjukkan tempat kerja baharunya, dan hari kedua (berlaku tragedi nahas itu), mestilah trauma.
“Jadi, biar dia berehat dulu, sekarang belum boleh buat keputusan, kalau dia boleh (bekerja di Langkap), teruskanlah (bekerja) dari sini,” ujarnya.
Sebaliknya, beliau tidak mahu memaksa jika menantunya itu mahu kembali ke Ipoh, jika ia dapat memberikan rasa selesa dan selamat untuk doktor pergigian itu.
Mengimbau tentang Sivasutan, jelasnya, mendiang memang meminati tentera dan suka melihat individu berpakaian seragam sejak kecil lagi, termasuk pakaian pengawal keselamatan di sekolah rendah tempatnya belajar dan berminat menjadi seperti itu.
“Saya terfikir saya sudah memberi pendidikan (sehingga berjaya), tidak akan lah mahu dia sekadar menjadi ‘jaga’.
“Jadi, saya memperkenalkan dia jenis-jenis pakaian seragam pasukan keselamatan, tambahan pula jiran di rumah lama saya adalah pegawai tentera laut, jadi saya beritahu ini pakaian seragam untuk TLDM.
Beliau memberitahu, ada satu ketika, mendiang diberi pilihan sama ada menyertai menyertai pasukan udara, kapal selam atau komando iaitu Pasukan Khas Laut (Paskal).
“Tetapi, komando itu tiada dalam pilihannya kerana katanya, mak mesti tidak bagi sebab latihan dia lasak dan mesti sanggup dipukul untuk bagi lasak, mana boleh, saya sendiri pun tidak pukul dia.
“Kalau kapal selam, saya tidak dapat tengok (jumpa) anak saya (sebab pasukan kapal selam berpusat di Sabah), jadi dia pun pilih unit udara,” ujarnya. – UTUSAN










