Pekerja pasar raya diburu ah long kerana enggan terus berhutang

Pekerja pasar raya diburu ah long kerana enggan terus berhutang

Zhi Li menunjukkan tangkap layar iklan pinjaman wang berlesen yang menjerat mangsa untuk membuat pinjaman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pekerja pasar raya di Singapura bukan sahaja mengalami kerugian lebih RM22,970, namun, diburu ah long kerana enggan meneruskan pinjaman wang tidak berlesen dengan sindiket terbabit.

Lebih malang, ahli keluarga terdekatnya serta rakannya turut terpalit dalam isu tersebut setelah mereka menerima beberapa panggilan dan mesej ugutan di atas perkara itu.

Malah rumah kakaknya di Taman Seri Skudai, di sini turut menjadi mangsa sabotaj sindiket itu menyebabkan hubungan mangsa dengan kakaknya retak.

Menurut wanita berusia 32 tahun yang mahu dikenali sebagai Tee, isu itu bermula apabila dia tertarik dengan iklan syarikat pinjaman wang berlesen di Singapura di laman media sosial bagi tujuan pelaburan.

“Apabila saya klik pada pautan tersebut, ia dihubungkan dengan nombor WhatsApp seorang lelaki yang mendakwa dirinya adalah wakil syarikat tersebut.

“Dia menjelaskan untuk mendapatkan pinjaman sejumlah SGD50,000, saya perlu membayar 7 peratus cukai kerajaan. Jadi, saya telah memindahkan duit ke akaun yang diberikan sebanyak SGD3,500 (RM11,485).

“Dia memberitahu saya berlakunya masalah ketika pemindahan wang dilakukan dan meminta saya untuk membayarnya semula dengan jumlah yang sama dan janji wang itu akan dikembalikan selepas pinjaman itu diluluskan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat MCA Johor di Danga Bay, di sini hari ini.

Tee memberitahu, setelah membayar SGD7,000 (RM22,970), lelaki yang dikenali sebagai Melvin itu memintanya untuk membayar lagi SGD6,000 (RM19,690) bagi bayaran guaman.

“Saya memberitahu lelaki itu bahawa sudah kehabisan wang dan tidak berhasrat untuk meneruskan pinjaman tersebut.

“Tindakan itu membuat dia marah dan mengarahkan saya untuk membayar kos pembatalan sebanyak RM7,500 (RM24,612),” katanya.

Katanya, dia hanya mengetahui menjadi mangsa penipuan setelah mendapat tahu lelaki terbabit bukanlah wakil syarikat pinjaman wang berlesen berkenaan dan telah membuat laporan polis di Singapura pada 11 Disember lalu.

Tambahnya, sehari selepas laporan polis dibuat, dia bersama ibu dan kakak serta rakannya menerima beberapa mesej ugutan daripada nombor tidak dikenali yang memberi ugutan untuk membayarkan wang yang masih tertunggak.

“Pada 12 Disember lalu, mereka telah bertindak menyimbah cat merah ke rumah kakak saya di Skudai dan menghantar video mereka melakukan perbuatan itu kepada saya. Mereka turut meninggalkan nota di pagar rumah tertera nombor telefon untuk saya hubungi.

“Mereka turut menghantar mesej ugutan untuk membakar rumah dan kereta keluarga saya. Saya bimbang akan keselamatan mereka dan berharap pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Biro Pengaduan Awam MCA Johor, Heng Zhi Li berkata, beliau berharap pihak polis di Johor dan Singapura dapat bekerjasama bagi menyelesaikan kes tersebut memandangkan mangsa masih bekerja berulang alik ke Singapura.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN