Peguam Siti Bainun akan temu bual lapan saksi - Utusan Malaysia

Peguam Siti Bainun akan temu bual lapan saksi

 SITI BAINUN AHD RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menemu bual lapan individu termasuk beberapa bekas penghuni Rumah Bonda untuk ditemu bual sebelum dipanggil sebagai saksi dalam kes penganiayaan dan pengabaian remaja Sindrom Down, Bella.

Lapan individu itu merupakan antara 15 saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan kepada pihak pembelaan sebelum ini.

Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas dimaklumkan oleh peguam bela, Mohammad Farhan Maaruf bahawa pihaknya akan menemu bual lapan saksi berkenaan pada 21 dan 22 Disember ini.

“Pihak kami juga akan menyenaraikan saksi-saksi pembelaan selepas selesai menemu bual lapan individu ini,” katanya semasa pengurusan kes itu.

Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan dalam kes membabitkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menawarkan 15 orang saksi kepada pihak pembelaan.

Pada 24 November lalu, Siti Bainun telah diperintah untuk membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella.

Perbicaraan peringkat bela diri yang sepatutnya bermula pada 5 Disember lalu terpaksa ditangguhkan selepas Siti Bainun dimasukkan ke hospital kerana menghidap pneumonia. Wanita itu juga dijadualkan untuk menjalani pembedahan membuang hempedu.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh-tarikh baharu perbicaraan peringkat bela diri iaitu pada 5, 6, 16, 17, 18, 19, 20, 26 dan 27 Januari (9 hari) diikuti 20, 21, 22, 23 serta 24, 27 dan 28  Februari (7 hari) selain 6, 7, 8, 9 ,10, 27, 28, 29 dan 30 Mac (9 hari).

Siti Bainun menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya