KYIV: Ukraine dilaporkan melaksanakan lebih 100 serangan di barisan hadapan menggunakan robot darat selepas Presiden, Volodymyr Zelensky memuji kejayaan menawan satu kedudukan Russia melalui kaedah baharu itu.
Menurut sumber, sistem tersebut memudahkan penggantian serangan infantri yang boleh mengakibatkan kematian anggota selain digunakan untuk mengesan dan menyerang sasaran serta menghalang penyusupan musuh.
“Secara keseluruhan, sudah terdapat lebih 100 operasi sedemikian. Operasi tersebut termasuk penghapusan anggota musuh, pemusnahan tempat perlindungan, pusat arahan dan objek infrastruktur musuh yang lain.
“Ini bukan lagi kejadian terpencil, tetapi operasi tempur yang dilaksanakan secara sistematik,” kata satu sumber syarikat NC-13 yang khusus dalam penggunaan mesin tempur itu dan merupakan sebahagian daripada Briged Serangan ke-3 Ukraine.
Jelasnya, dalam operasi serangan, pasukan itu kini mengerahkan lima hingga enam sistem robot kamikaze berasaskan darat secara serentak. Ia diikuti bersama sistem robot darat yang dilengkapi modul tempur.
“Pendekatan ini berkesan menggantikan kumpulan serangan infantri, meminimumkan risiko kepada anggota. Kami berulang kali melihat situasi di mana musuh menganggap tindakan tersebut sebagai kemaraan pasukan serangan dan meninggalkan kedudukan mereka,” katanya.
Awal minggu ini, Zelensky berkata, robot di darat dan di udara membolehkan satu kedudukan Russia dirampas di medan perang. Dalam satu kenyataan, Briged Serangan ke-3 Ukraine memaklumkan operasi pertama seumpama itu berlaku pada musim panas 2025.
Menurut briged itu, empat dron darat melibatkan kenderaan kawalan jauh yang masing-masing membawa 30 kilogram (kg) bahan letupan dihantar untuk memusnahkan kedudukan Russia di barisan hadapan selepas dua percubaan serangan oleh pasukan infantri gagal dan menyebabkan kehilangan nyawa.
“Sistem pertama meletupkan pintu masuk di mana musuh berlindung di dalamnya. Sistem kedua (GRS) bergerak ke kubu bawah tanah dan berhenti di pintu masuk. Baki tentera pendudukan menyedari kedudukan mereka tidak lagi dapat dipertahankan lalu menulis pada sekeping kadbod bahawa mereka menyerah diri.
“Ia merupakan serangan robot pertama di dunia ke atas kedudukan musuh yang berjaya menawan tahanan tanpa penglibatan infantri,” kata briged itu.-AFP










