Pecat serta-merta Jemaah Menteri jika terlibat rasuah - PM - Utusan Malaysia

Pecat serta-merta Jemaah Menteri jika terlibat rasuah – PM

ANWAR Ibrahim hadir pada Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Kompleks Seri Perdana Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran untuk memecat serta merta mana-mana Jemaah Menteri yang terlibat dengan aktiviti rasuah.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak akan bertolak ansur dalam soal itu kerana ia berkait dengan pelanggaran tatakelola.

“Saya sudah bercakap dengan semua ketua-ketua parti komponen, kalau ada kes seperti itu (rasuah) ketika pemerintahan saya. Saya minta pecat serta merta. 

“Saya tidak tolak ansur dan ini bukan soal politik. Ini adalah keyakinan saya.

“Saya telah dihumban ke penjara dan dipukul setengah mati dan sudah lama terseksa dan saya bukan mahu mendabik dada sebab aku menang,” katanya.

Terdahulu, Anwar berucap pada Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Katanya, beliau berpandangan politik bukan kesempatan untuk membina kekayaan, menunjukkan kehebatan dan keangkuhan serta mengkayakan sanak saudara.

Anwar berkata, beliau tidak dapat menafikan kerana sistem yang di amalkan itu menyebabkan rakyat berasa sinis dan mempertikai akhlak serta kewibawaan pimpinan.

Menurutnya, beliau juga tidak memberi jaminan kepada sesiapa untuk terlepas daripada hukuman sekiranya ia telah diputuskan oleh hakim yang bebas dan adil.

“Begitu juga kebebasan profesionalisme badan-badan penguatkuasaan, saya sudah bertemu dengan Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mereka memberi gesaan yang sama.

“Saya mahu buktikan ada orang Melayu, anak Melayu yang menggunakan kuasanya untuk menjaga dan membela nasib rakyat di negara ini.

“Saya mahu buktikan bahawa orang yang percaya kepada Islam itu akan dihormati dan diyakini kerana prinsip rahmah dan keadilan yang ditegakkannya,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.