Institusi asing jual bersih RM1.05 bilion ekuiti tempatan minggu lalu - Utusan Malaysia

Institusi asing jual bersih RM1.05 bilion ekuiti tempatan minggu lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institusi asing melanjutkan jualan bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih RM1.05 bilion pada minggu lalu, menurut MBSB Investment Bank Berhad.

Bank pelaburan berkata, institusi asing merupakan penjual bersih pada ketiga-tiga hari dagangan sepanjang minggu yang dipendekkan oleh Hari Keputeraan Rasmi Raja dan cuti Hari Wesak.

Katanya, aliran keluar terbesar dicatatkan pada Rabu sebanyak RM454.3 juta, diikuti oleh Khamis (RM367.4 juta) dan Jumaat (RM225.8 juta).

“Tiga sektor sahaja yang mencatatkan aliran masuk bersih oleh institusi asing ialah tenaga (RM18.1 juta), pengangkutan dan logistik (RM12.9 juta) dan teknologi (RM8.8 juta).

“Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar bersih oleh institusi asing ialah perkhidmatan kewangan (RM312.5 juta), utiliti (RM125.0 juta) dan produk dan perkhidmatan pengguna (RM121.8 juta),” katanya dalam Laporan Aliran Dana minggu berakhir 5 Jun 2026.

MBSB Investment Bank berkata, institusi tempatan mencatatkan rentetan pembelian bersih selama lapan minggu berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM773.6 juta.

“Sementara itu, peruncit mencatatkan rentetan pembelian bersih selama empat minggu berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM274.0 juta.

“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyaksikan penurunan menyeluruh iaitu peruncit susut sebanyak 6.1 peratus, institusi tempatan (21.7 peratus), manakala institusi asing (46.4 peratus,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN