Pasangan terkunci dari dalam ketika pondok pengawal terbakar

Pasangan terkunci dari dalam ketika pondok pengawal terbakar

LOKASI pondok pengawal yang terbakar sehingga mengakibatkan sepasang kekasih rentung di Taman Bayam Indah, Lunas di Kulim. - FOTO/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pasangan lelaki dan wanita yang ditemukan rentung dalam kebakaran di Lunas, Kulim semalam dipercayai gagal menyelamatkan diri kerana terperangkap dalam pondok pengawal yang dikunci dari dalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai pasangan kekasih itu berkemungkinan tertidur dalam pondok berkenaan sebelum kebakaran berlaku.

“Mangsa lelaki dipercayai pengawal keselamatan di kawasan itu dan membawa teman wanita ke pondok tersebut. Setakat ini siasatan awal mendapati tiada unsur khianat.

“Kemungkinan besar mangsa terkunci dari dalam pondok tersebut. Kes akan disiasat sekiranya ada unsur khianat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Menurut beliau, kes berkenaan diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.

“Mayat didapati rentung sehingga 80 peratus dan kita kena buat bedah siasat termasuk ujian DNA (asid deoksiribonukleik) dahulu,” katanya.

Akhbar ini melaporkan sepasang mayat ditemukan rentung di dalam pondok pengawal yang terbakar di Taman Bayam Indah, Lunas di Kulim, semalam.

Difahamkan, mayat terbabit, seorang lelaki berusia 45 tahun dan seorang wanita berusia 25 tahun ditemukan di dalam pondok pengawal keselamatan di kawasan perumahan itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azuan Hamdan berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.54 malam memaklumkan mengenai kebakaran terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya