PETALING JAYA: Ketua-ketua parti politik dijangka memeterai perjanjian bagi menyokong pentadbiran Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Pemeteraian perjanjian itu sekali gus mendahului usul undi percaya Perdana Menteri yang dijadual dibentang di Dewan Rakyat, Isnin ini, ketika Anwar yakin mendapat sokongan majoriti dua pertiga melalui sidang khas Parlimen.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber daripada Pejabat Perdana Menteri yang tidak didedahkan berkata, pemeteraian perjanjian itu dijangka berlangsung petang ini di Putrajaya.
Pada 5 Disember lalu, Menteri Luar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata, satu perjanjian membabitkan parti-parti dalam kerajaan akan ditandatangani.
Ia bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat kepada kerajaan selain memastikan kesemua parti bersatu.
Utusan Malaysia menghubungi beberapa pemimpin parti politik kerajaan, bagaimanapun, usaha itu tidak berjaya setelah panggilan telefon dan mesej pesanan ringkas tidak dibalas.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof semalam dilaporkan mengesahkan parti politik yang menyokong pentadbiran Anwar akan memeterai perjanjian berkenaan hari ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Petra Jaya itu memberitahu, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai intipati perjanjian tersebut.
“Semua ketua parti sudah berbincang, malah hari ini saya balik ada mesyuarat di peringkat Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk melihat kandungan perjanjian,” katanya seperti dilapor media tempatan semalam.
Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng Wei Shien ketika dihubungi berkata, beliau juga akan menghadiri pemeteraian perjanjian berkenaan namun tidak mendedahkan maklumat lanjut.
“Ya, saya telah menerima surat jemputannya dan akan hadir pada hari ini. Minta maaf, saya tidak boleh kongsikan maklumat selainnya,” kata Ahli Parlimen Julau itu.
Sementara itu, Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau akan hadir pada majlis itu sejajar sokongan partinya kepada Anwar demi mengukuhkan kedudukan kerajaan sekarang.
“Kita akan mengadakan perjumpaan hari ini untuk menandatangani perjanjian antara Pakatan Harapan (PH) dengan parti yang lain, saya akan hadir ketika itu.
“Ini adalah keutamaan kita. Kurangkan berpolitik, yang penting kepada kita adalah membawa perkara-perkara sewajarnya di landasan yang sepatutnya,” katanya Ahli Parlimen Semporna itu.
Kerajaan Perpaduan dianggotai PH, BN, GPS, Warisan, PBM, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Bebas.
Semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini, PH memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Kerajaan Persekutuan ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ketika itu bagi membentuk satu kerjasama dwipartisan.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama perjanjian yang akan dimeterai hari ini sama seperti MoU yang pernah dimeterai sebelum pembubaran Parlimen ke-14. – UTUSAN










