Pantau perbelanjaan RM2.8b baik pulih LRT

Pantau perbelanjaan RM2.8b baik pulih LRT

Orang awam menggunakan perkhidmatan LRT yang menghubungkan bandar sekitar Lembah Klang di Stesen LRT KL Sentral. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta memantau peruntukan RM2.8 bilion yang disediakan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi projek baik pulih dan menaik taraf perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya.

Ini kerana ia melibatkan peruntukan yang besar meliputi fasa satu iaitu kos RM150 juta diikuti fasa kedua RM210 juta, penambahan sebanyak 27 tren baharu mulai Julai 2023 hingga Disember 2024 bernilai RM1.7 bilion dan penyelenggaraan 35 set tren sedia ada melibatkan kos RM800 juta.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pusat Penyelidikan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua menyifatkan, walaupun Prasarana berniat baik mahu membaik pulih dan menaik taraf sistem pengangkutan awam yang sudah berusia 24 tahun, ia tidak seharus­nya melibatkan perbelanjaan yang terlalu besar.

Katanya, jika peruntukan yang besar diperlukan setiap kali tiba tempoh penyelenggaraan, kerajaan perlu memastikan ia adalah perbelanjaan yang berbaloi dan dibelanjakan sewajarnya.

“Peruntukan RM2.8 bilion itu memang perlu kerana sistem LRT Kelana Jaya menggunakan sistem lama, tetapi persoalan yang lebih penting adalah mengapa tunggu terlalu lama untuk membaik pulih dan menaik taraf sistem lama sehingga perlu menanggung kos yang tinggi.

“Apa pula jaminan peruntukan ini akan benar-benar mewujudkan perubahan signifikan terhadap LRT Kelana Jaya? Perkara ini perlu difikirkan kerana mahal sahaja tak guna jika sistem pengangkutan awam tidak bertambah baik,” katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, kata­nya, penambahbaikan tersebut tidak perlu dibuat secara mewah, sebaliknya hanya perlu memastikan LRT dapat beroperasi dengan lancar tanpa sebarang gangguan sehingga boleh menjejaskan pengguna.

“Kita bukan mahukan istana LRT, kita cuma mahu LRT beroperasi dengan optimum dan efisien. Jadi, kita harap peruntukan ini dibelanjakan dengan sewajarnya,” katanya.

Prasarana merangka tiga perancangan dalam tempoh lima tahun untuk menstabilkan sistem pengangkutan iaitu menambah baik sistem kawalan tren automatik (ATC), menambah 27 buah tren dan menambah baik kemudahan fasiliti di semua stesen LRT.

Pengendali sistem pengangkutan awam itu juga berhasrat untuk memperkenalkan sistem sensor yang berfungsi mengumpul data pergerakan tren sekali gus dapat memberi jangkaan kepada Prasarana terhadap kerosakan bakal dialami.

Dalam pada itu, pakar kejuruteraan pengangkutan, Prof. Dr. Amiruddin Ismail berpandangan, Prasarana tidak mempunyai pilihan selain menyediakan peruntukan besar kerana beberapa faktor seperti kenaikan kos dan permintaan yang tinggi daripada pengguna.

“Sekarang ini kos sudah tinggi dan permintaan juga meningkat. Dengan jumlah penumpang yang semakin ramai, Prasarana perlu menampung kekerapan tren terutama di waktu puncak sepanjang laluan LRT Kelana Jaya.

“Sebab itu, mereka perlu sediakan lebih banyak set tren, jadi mereka perlu akur dengan permintaan yang tinggi dan menaik taraf sistem sedia ada. Saya percaya ini satu perbelanjaan yang berbaloi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×