Najib gagal dapatkan dokumen berkaitan Zeti

Najib gagal dapatkan dokumen berkaitan Zeti

NAJIB Tun Razak meninggalkan pekarangan  Mahkamah Rayuan Putrajaya  selepas hadir bagi keputusan rayuan mendapatkan dokumen membabitkan transaksi kewangan antara sebuah firma pelaburan dengan Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi gagal dalam usahanya untuk mendapatkan beberapa dokumen membabitkan transaksi kewangan antara firma pelaburan Goldman Sachs dengan bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian selepas mendapati tidak sebarang kekhilafan dalam keputusan dibuat oleh mahkamah terdahulu.

Ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit, Hakim Nordin menyatakan, tiada sebarang kesilapan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membolehkan Mahkamah Rayuan meminda keputusan itu.

“Hakim terbabit mempunyai budi bicara untuk menolak keputusan mengikut Seksyen 51 dan 425 Kanun Prosedur Jenayah. Menjadi hakim dalam perbicaraan dan dikemukakan pertuduhan serta bukti daripada pihak pendakwaan terhadap Najib, Hakim Sequerah berada di kedudukan (terbaik) untuk membuat penilaian,” katanya.

Beliau berkata, panel terbabit berpendapat bahawa dokumen-dokumen yang dimohon oleh Najib tidak akan membantu dalam pembelaannya.

Pada 24 Mac 2021, Najib memfailkan permohonan untuk mendapatkan 19 dokumen bank bagi beberapa buah syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Dr. Tawfiq Ayman yang merupakan suami kepada Zeti yang dikatakan menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low.

Najib sekali lagi pada 5 April 2021 turut memohon dibekalkan dengan beberapa lagi dokumen termasuk perjanjian penyelesaian Malaysia dengan Goldman Sachs.

Beliau turut memohon transkrip atau laporan forensik daripada perbualan telefon Tim Leissner, yang juga bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia serta data yang disimpan oleh pelayan (server) Goldman Sachs melibatkan komunikasi Leissner.

Berhubung dokumen ini, Mahkamah Rayuan menyatakan dokumen-dokumen yang dimohon tidak berada dalam simpanan pihak pendakwaan.

Sehubungan itu, mahkamah tidak boleh mengarahkan pihak pendakwaan untuk berbuat sesuatu yang jelas tidak boleh dipatuhi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram ketika ditemui media berkata, keputusan Mahkamah Rayuan mengesahkan Mahkamah Tinggi tidak membuat kesilapan terhadap permohonan membabitkan kes Najib yang didakwa mengikut akta pengubahan wang haram dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dokumen yang diminta termasuk kenyataan siasatan membabitkan polis dan SPRM adalah rahsia. Saya juga bernasib baik mempunyai pasukan pendakwaan dalam kelas tersendiri untuk berdepan permohonan itu. 

“Berkaitan perbicaraan kes Najib, seramai 43 saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan dan kita akan panggil tujuh lagi. Tak silap saya saksi yang dipanggil termasuk bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar,” katanya.

Najib kini sedang dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya