Manifesto parti serupa dilaksana segera

Manifesto parti serupa dilaksana segera

Saifuddin Nasution bercakap kepada media selepas sesi lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, semalam. Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. – UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Manifesto se­tiap parti yang berada dalam kerajaan perpaduan akan dikenal pasti pada setiap persamaannya untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagaimanapun setakat ini sebarang perbincangan belum dibuat memandangkan hanya sekali sahaja mesyuarat Kabinet diadakan.

“Saya rasa ia masih awal untuk dibincangkan bagi di­selaras­kan dengan kerajaan per­paduan, tetapi saya fikir perkara paling minimum yang kita akan bawa kepada blok parti politik lain adalah kita akan teliti persamaan antara satu sama lain untuk dilaksanakan dengan segera.

“Antaranya kos sara hidup, tata kelola, urus tadbir negara, tiga perkara ini antara perkara yang hampir semua ada dalam setiap parti politik.

“Jadi, kita boleh laksanakan dengan segera. Ini baru idea, bukan keputusan kerana kita belum bincangkan bersama mengenai perkara ini,” katanya yang juga Menteri Dalam Nege­ri ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau ditanya apakah mekanisme yang digunakan kerajaan perpaduan bagi melaksanakan manifesto setiap parti, disifatkan sebagai janji kepada rakyat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam PRU15, Barisan Nasional (BN) tampil dengan Peran­cangan Amal dan Usaha Barisan Nasional untuk Malaysia atau Padu yang menggariskan 99 usaha menjadi panduan dalam mengemudi tanah air menjadi negara berkemajuan tinggi.

Padu memfokuskan kepada lima idea besar yang mendasari tawaran utama iaitu penyelesai­an nasional yang komprehensif bagi menjawab pelbagai isu paling mendesak seperti kos kehidupan dan sara hidup yang tinggi.

Manifesto yang dilancarkan PH pula menawarkan 10 aspek yang menjadi keutamaan untuk dilaksanakan.

Antara yang menjadi keutamaan PH adalah perangi rasu­ah, tangani isu kos sara hidup, perkasa peluang ekonomi belia, tangani isu doktor kontrak dan bina ketahanan bencana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×