SHAH ALAM: Kegagalan membendung pencemaran di kawasan hulu Lembangan Sungai Langat yang merangkumi Sungai Semenyih, Sungai Beranang dan beberapa anak sungai lain menyebabkan pengguna di sekitar Lembah Klang terus berdepan ancaman gangguan bekalan air tidak berjadual.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar kualiti air dan pemodelan, Prof. Madya, Dr. Zaki Zainudin memberitahu, pembangunan di bahagian hulu Lembangan Sungai Langat perlu dikawal dan mengikut garis panduan ditetapkan bagi mengatasi risiko pencemaran sungai.
Menurutnya, terdapat tiga loji rawatan air (LRA) utama yang terletak di bahagian hilir sungai iaitu LRA Sungai Semenyih, Bukit Tampoi dan LRA Labohan Dagang di Kuala Langat.
Malah katanya, kawasan sungai tersebut juga terdedah kepada pencemaran akibat daripada kemalangan jalan raya seperti nahas yang berlaku berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan baru-baru ini sehingga menyebabkan dua juta pengguna terjejas akibat LRA terpaksa dihentikan.
“Sebenarnya ada tiga lebuh raya utama yang melintasi sungai terlibat iaitu Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas).
“Ketiga-tiga lebuh raya itu merentasi hulu Sungai Semenyih, jika berlaku kemalangan di lebuh raya berkenaan, LRA di bahagian hilirnya berkemungkinan akan terjejas. Bagaimana hendak mengawalnya, itulah isunya. Bukan sahaja lebuh raya, sebenarnya isu pembangunan di kawasan hulu lembangan,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan Sungai Langat mempunyai tahap risiko yang kronik apabila pencemaran didapati boleh berlaku pada bila-bila masa apabila terdapat pembangunan terutama kawasan perindustrian dibina berdekatan dengan tebingnya.
Keadaan itu ditambah lagi dengan kewujudan kawasan-kawasan perumahan dan pusat perniagaan yang meletakkan Sungai Langat terus berada dalam keadaan bahaya sehingga boleh menyebabkan LRA dihenti tugas jika berlaku pencemaran pada sumber air sebahagian besar penduduk Lembah Klang itu.
Zaki dalam masa sama turut menolak jika terdapat cadangan supaya syarikat konsesi lebuh raya membina loji rawatan air sendiri untuk merawat air dari longkangnya sebelum dilepaskan ke sungai seperti dilakukan oleh kilang-kilang.
Dalam pada itu, beliau memuji tindakan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) yang menutup segera LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dan menganggap penutupan itu sebagai tepat walaupun pengguna terpaksa berdepan gangguan bekalan air meskipun ketika sambutan Hari Krismas.
“Saya difahamkan ada dua strategi dalam projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) baru-baru ini, pertama kalau air takungan itu mencukupi, mereka akan hantar terus ke LRA untuk diagihkan kepada pengguna. Kalau berlaku pencemaran maknanya ada sokongan takungan sebagai sumber sementara.
“Strategi kedua, air dalam TAPS itu akan dilepaskan ke dalam sungai, maksudnya kalau ada apa-apa berlaku pencemaran, sama ada loji akan ambil air dari TAPS itu sendiri ataupun digunakan untuk flush air tercemar ke hilir.
“Itu antara strategi yang baguslah, tetapi adakah penyelesaian ini mampan. Macam saya kata tadi, jika pembangunan tidak henti di bahagian hulu, maka akan ada lagi risiko pencemaran,” jelasnya.
Tambah beliau, perlindungan hulu Lembangan Sungai Langat memerlukan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dan Negeri Sembilan apabila anak-anak sungainya merentasi sempadan dua negeri itu. – UTUSAN










