PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Klang dekat selepas memiliki sejumlah bahan pornografi kanak-kanak.
Penahanan lelaki berusia 39 tahun itu dilakukan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman pada 13 Disember lalu.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd. Saadudin berkata, hasil pemeriksaan dalam rumah suspek mendapati terdapat sejumlah besar bahan pornografi berkenaan yang disimpan dalam komputer milik suspek.
Kata beliau, siasatan mendapati suspek turut berkomunikasi dengan mangsa kanak-kanak di samping memuat turun bahan pornografi kanak-kanak dalam media sosial.
“Hasil tangkapan itu, sebuah komputer, external hard disk, router dan telefon bimbit mangsa dirampas untuk siasatan lanjut.
“Kejayaan tangkapan ini adalah hasil kerjasama erat PDRM dengan Federal Bureau of Investigation (FBI),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Noorsiah, suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 17 Disember ini.
“Kes disiasat di bawah Sekysen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti mangsa-mangsa yang terlibat dalam kes ini,” jelasnya. – UTUSAN