KUALA LUMPUR: Setelah proses menghantar nama calon berakhir kelmarin, agenda pertama yang akan dilaksanakan sidang Parlimen bermula 19 Disember ini adalah pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berkata, perkara itu akan dikendalikan Setiausaha Dewan Rakyat bagi memilih calon yang baharu.
“Diperuntukkan di dalam peraturan mesyuarat iaitu setiap kali penggal Dewan Rakyat itu selesai penggalnya, maka, penggal sekarang yang ke-15 masa untuk dikuatkuasakan segala peraturannya. Dewan Rakyat hendaklah memilih seorang speaker iaitu Yang Dipertua.
“Ia terkandung di bawah peraturan mesyuarat 4, jadi aturan memilih Yang Dipertua itu mestilah dihantar dua minggu atau 14 hari nama pencalonan yang difikirkan sesuai untuk dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat versinya sama dengan Dewan Negara,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Tambah Rais, calon Yang Dipertua haruslah tidak terdiri daripada menteri dan timbalan menteri, serta Ahli Dewan Negara.
Malah katanya, Yang Dipertua terdahulu, Tan Sri Azhar Azizan Harun perlu meletakkan jawatan selewat-lewatnya 18 Disember kecuali beliau dicalonkan semula oleh mana-mana pihak.
“Jika terdapat mana-mana Senator ingin menjadi Speaker (Yang Dipertua), beliau harus meletakkan jawatan terlebih dahulu bagi membolehkan beliau dilantik menjadi Speaker. Serta seseorang itu tidak boleh terdiri daripada menghadapi kes jenayah, atau telah dijatuhi hukuman penjara, atau seseorang muflis atau seseorang yang hilang akal,” jelasnya.
Rais berkata, proses pengundian akan dijalankan sekiranya terdapat lebih daripada seorang nama calon yang dihantar dan pencalonan itu tidak boleh dibahaskan.
Dalam pada itu, beberapa nama disebut-sebut kali ini, termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau bersedia untuk memikul tanggungjawab berkenaan jika diberi peluang. – UTUSAN










