Laluan penghubung Jambatan Sultan Yusof ke WCE menuju Selangor dibuka esok - Utusan Malaysia

Laluan penghubung Jambatan Sultan Yusof ke WCE menuju Selangor dibuka esok

NOTIS pemberitahuan JKR mengenai pembukaan laluan penghubung Jambatan Sultan Yusof ke WCE Teluk Intan-Hutan Melintang mulai pukul 11 pagi esok. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Masalah kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di Jambatan Sultan Yusof di Batu 5, Teluk Intan setiap kali musim perayaan dan akhir cuti persekolahan, dijangka boleh berakhir mulai esok.

Ia kerana laluan jejantas menghubungkan jambatan tersebut dengan laluan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Teluk Intan-Hutan Melintang akan dibuka kepada semua kenderaan mulai pukul 11 pagi esok.

Menurut notis pemberitahuan yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dikongsi dalam Facebook rasmi JKR Manjung, ia melibatkan laluan Jalan Persekutuan FT005 dari jambatan itu ke laluan WCE yang menghubungkan Perak dan Selangor.

Menerusi pembukaan laluan itu, ia dijangka mampu menyuraikan trafik khususnya dari arah utara dan daerah Manjung ke Selangor dan selatan tanah air tanpa perlu melalui persimpangan lampu isyarat.

Sejak berbelas tahun lalu, kesesakan trafik sering berlaku terutama dari arah utara dan daerah Manjung menghala ke jambatan tersebut sehingga sejauh hampir 10 kilometer setiap kali musim perayaan dan akhir cuti persekolahan.

Pembukaan laluan itu juga membolehkan pengguna kenderaan dari Selangor bermula di Sabak Bernam, terus menuju ke Beruas, Perak, menggunakan WCE dengan masa perjalanan kira-kira sejam, sekali gus menjimatkan masa perjalanan berbanding kira-kira hampir dua jam jika menggunakan laluan Persekutuan susur keluar ke Lekir di daerah Manjung.

Ketika ini juga, tiga daripada empat seksyen WCE bagi jajaran Perak sudah siap sepenuhnya iaitu melibatkan Seksyen 8 bagi laluan Hutan Melintang-Teluk Intan, Seksyen 9 (Lekir-Changkat Cermin) dan Seksyen 10 (Changkat Cermin-Beruas).

Ia melibatkan tujuh Plaza Tol iaitu Hutan Melintang, Teluk Intan dan Lekir serta Plaza Tol susur keluar Sitiawan, Sitiawan Utara, Changkat Cermin dan Beruas.

Sementara, satu lagi seksyen iaitu Seksyen 11 iaitu Beruas-Taiping Selatan-Changkat Jering masih dalam pembinaan dan dijangka siap sebelum akhir tahun depan.

Seksyen 11 menjadi tumpuan utama kerana bersambung ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) melalui Plaza Tol Changkat Jering, sekali gus menjadi alternatif kepada pengguna kenderaan dari selatan tanah air khususnya dari Lembah Klang menuju utara Semenanjung. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya