KOTA KINABALU: Walaupun kurang wakil ahli Parlimen Sabah dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan namun, keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu harus dihormati.
Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, siapa pun yang dilantik itu adalah prerogatif Perdana Menteri yang patut dihormati.
Maka, tidak sepatutnya timbul soal kecewa kerana rakyat Sabah telah diberikan peluang untuk mengundi dan memilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, rakyat telah memilih dan mengundi mengikut apa yang mereka yakin dan percaya boleh membantu Sabah dan terbukti mereka lebih mempercayai keupayaan parti-parti yang berpusat di Semenanjung Malaysia dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat.
Keputusan dan pilihan rakyat itu seharusnya dihormati dan kini, fokus harus diberikan kepada usaha untuk membantu rakyat yang cukup terkesan dengan kegawatan ekonomi negara.
Menurut beliau, peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi setiap hari amat membimbangkan maka, fokus kerajaan Persekutuan harus kembali kepada usaha membantu menangani isu-isu rakyat.
Beliau berkata, rakyat sewajarnya memberi peluang kepada Perdana Menteri baharu itu untuk mengurus pentadbiran negara serta menjayakan reformasi yang dijanjikan kepada rakyat dan negara.
Justeru, Perdana Menteri harus diberikan peluang untuk mencerakin dan mengamati sejarah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang harus ditunai dan dilaksanakan seperti dipersetujui oleh bapa-bapa kemerdekaan Sabah.
Namun, jangan pula ia memakan masa yang lama untuk dilaksanakan kerana perjanjian ini adalah perjanjian antarabangsa yang sah dari segi undang-undang.
“Dalam konteks Sabah, beliau (Anwar) harus menunaikan dan melaksanakan MA63 sebagaimana yang telah dijanjikan pada pilihan raya yang lalu,” katanya.
Barisan Kabinet yang diummkan semalam menyaksikan hanya dua wakil dari Sabah dilantik sebagai menteri penuh iaitu Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi serta Datuk Armizan Mohd. Ali dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah & Sarawak).- UTUSAN










