Kerajaan diminta bina segera HSA2 - Utusan Malaysia

Kerajaan diminta bina segera HSA2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri berharap kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menilai semula keperluan pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, pembinaan hospital awam ketiga itu perlu bagi menampung keperluan kepadatan penduduk di Johor Bahru. 

Menurutnya, jumlah pesakit di dua hospital sedia ada, iaitu HSA dan Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini kian meningkat dan penggunaan katil lebih 80 peratus.

“Kerajaan negeri serta rakyat di negeri ini amat berharap supaya pembinaan HSA2 dipertimbang semula dan dapat direalisasikan.

“Dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika itu tidak menyenaraikan HSA2 sebagai salah satu projek pembangunan yang akan dilaksanakan.

“Oleh itu, kami berharap supaya kerajaan perpaduan serta Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa yang juga Ahli Parlimen dari Johor supaya permohonan pembinaan HSA2 dapat diluluskan dan dibentangkan dalam Belanjawan 2023 yang baharu nanti,” katanya ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

Jun lalu, Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng dilaporkan berkata, HSA2 dijangka mula dibina pada 2024 sekiranya mendapat kelulusan daripada kerajaan dan dibentangkan dalam Belanjawan 2023.

Menurutnya, pembinaan HSA2 dijangka dapat menyelesaikan isu kesesakan di dua hospital awam di daerah ini.

Mengikut perancangan, lokasi HSA2 adalah di kawasan Kempas, bahkan Kementerian Kesihatan sudah membayar premium tanah seluas 207.5 hektar bagi pembinaan hospital tersebut.

Tian Soon menjelaskan, salah satu faktor yang menjadi punca pembinaan HSA2 tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2023 ialah isu setinggan di tapak projek itu di Kempas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya