Zalfa Zin teringin menggalas watak heroin, tidak malu pegang watak pembantu - Utusan Malaysia

Zalfa Zin teringin menggalas watak heroin, tidak malu pegang watak pembantu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seperti impian pelakon lain, pelakon Zalfa Zin mengakui dia teringin untuk memegang watak utama atau heroin kerana mahu melakonkan karakter yang sentiasa diingati oleh penonton.

Bagaimanapun, Zalfa Zin atau Norzafifah Mohd Zin, 33, tetap berpuas hati dan bersyukur dengan watak yang diterimanya setakat ini kerana watak-watak itulah yang membuatkan dirinya mula dikenali ramai.

“Sejujurnya, saya memang ada impian untuk menjadi heroin dan mahu membawa watak yang orang akan sentiasa ingat sampai bila-bila. Saya juga mempunyai impian untuk merangkul anugerah hasil daripada kerja keras dalam bidang lakonan ini.

“Pada peringkat awal, saya sebenarnya hanya terjun sahaja ke bidang ini dan meneruskannya kerana mahu mencari duit. Namun, lama-kelamaan, timbul rasa minat dan akhirnya saya jatuh cinta dengan kerja yang saya lakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zalfa berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui dalam majlis pelancaran dan pengumuman menyempurnakan nama filem The Real Mamu: Maruah dan Darjat di Royal Chulan Kuala Lumpur, pada Isnin.

Mengulas mengenai pandangan segelintir individu yang hanya melihat kesusahan pelakon utama, Zalfa memohon maaf dan membetulkan semula tanggapan tersebut kerana setiap karakter mempunyai peranan tersendiri.

“Memang betul ada sesetengah cerita yang mana orang ramai hanya akan memandang kepada pelakon utama atau heroin sahaja. Namun, sebenarnya, setiap watak yang digarap dalam sesebuah cerita itu mempunyai kepentingan masing-masing.

“Tanpa kehadiran watak-watak pembantu ini, sesebuah jalan cerita itu sebenarnya tidak akan menjadi sempurna untuk ditonton. Sebab itu, saya tetap bersyukur walaupun selama ini sering diberikan watak sampingan sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, melalui peranan kecil yang diberikan itu juga, Zalfa menyifatkan ia sudah mencukupi untuk meletakkan namanya di dalam industri hiburan tanah air.

“Alhamdulillah, hasil daripada watak sampingan yang saya bawakan sebelum ini, orang ramai sudah mula mengenali diri saya. Walaupun tidak ramai dan tidak terlalu popular, saya tetap bersyukur dengan pencapaian setakat ini,” ujarnya.

Untuk rekod, Zalfa Zin merupakan pelakon wanita tempatan yang pernah memegang watak utama sebagai gadis tomboi bernama Ryana dalam drama Kerna Syurga Bukan Percuma (Astro Oasis) Dan turut dikenali menerusi watak penting dalam drama-drama hit seperti Patahnya Sebelah Sayap dan Cinta Ibadah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN