Arab Saudi lancar syarikat penerbangan nasional kedua Riyadh Air

Arab Saudi lancar syarikat penerbangan nasional kedua Riyadh Air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Arab Saudi melancarkan syarikat penerbangan nasional keduanya, Riyadh Air, hari ini selepas lebih setahun mengalami kelewatan, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi susulan perang di Asia Barat serta persaingan sengit daripada syarikat penerbangan utama rantau Teluk.

Penerbangan sulung syarikat itu menyaksikan sebuah pesawat Boeing 787 Dreamliner berlepas dari Riyadh menuju ke London pada pukul 2.30 pagi, sekali gus menandakan bermulanya operasi rasmi syarikat penerbangan berkenaan.

Riyadh Air merupakan syarikat penerbangan kedua milik kerajaan Arab Saudi selepas Saudia yang berpangkalan di Jeddah.

Penubuhan syarikat itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi negara terhadap hasil minyak serta menjadikan Riyadh sebagai hab penerbangan global yang mampu bersaing dengan Dubai, antara pusat penerbangan antarabangsa paling sibuk di dunia.

“Kami mahu kembalikan elemen kemewahan, keanggunan dan perkhidmatan bertaraf tinggi dalam industri penerbangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Riyadh Air, Tony Douglas, kepada AFP.

Pelancaran syarikat penerbangan itu yang pada asalnya dijadualkan pada 2025 terpaksa ditangguhkan berikutan kelewatan penghantaran pesawat oleh Boeing, yang berdepan beberapa isu pembuatan dan keselamatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pelancaran itu juga berlaku selepas serangan luar biasa oleh Iran yang melancarkan ribuan dron dan peluru berpandu ke arah sasaran di rantau Teluk, termasuk lapangan terbang, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan ekonomi di rantau kaya tersebut.

Douglas, yang sebelum ini merupakan CEO Etihad Airways, berkata penerbangan sulung itu adalah ‘kemuncak kepada empat tahun persiapan’.

Menurutnya, Riyadh kurang terkesan oleh serangan-serangan di rantau itu kerana kedudukan geografinya.

“Anda akan melalui pelbagai cabaran dan dugaan. Ada kalanya berjaya, ada kalanya berdepan kegagalan. Kadang-kadang ada kemajuan, kadang-kadang berlaku kemunduran. Namun akhirnya kami berjaya, dan hari ini kami berjaya merealisasikannya,” katanya pada majlis prapelancaran di dalam kabin pesawat Dreamliner Riyadh Air.

Arab Saudi kini sedang membina sebuah lapangan terbang baharu berskala besar di Riyadh yang dijangka mampu mengendalikan 120 juta penumpang setahun menjelang 2030, berbanding 53 juta penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid ketika ini.

Riyadh Air dimiliki oleh Public Investment Fund, dana kekayaan negara bernilai AS$900 bilion yang menjadi pemacu utama program reformasi ekonomi Vision 2030 yang diperkenalkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Sebagai tanda komitmen jangka panjangnya, syarikat penerbangan itu menempah 132 pesawat Boeing 787 Dreamliner dan pada Jun tahun lalu menandatangani perjanjian pembelian 25 pesawat Airbus A350-1000 dengan pilihan untuk menambah 50 lagi pada masa hadapan.

“Kami bercita-cita untuk menghubungkan lebih 100 bandar antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata Douglas.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN