Keldai akaun faktor Love Scam, Macau Scam terus berleluasa - Utusan Malaysia

Keldai akaun faktor Love Scam, Macau Scam terus berleluasa

MOHD. Roze Shaari (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Asisten Superintenden Rahmat Fitri Abdullah selaku moderator Town Hall PDRM Kedah di Dewan Tunku Ibrahim, IPK Kedah, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tindakan individu terlibat membenarkan akaun mereka digunakan orang lain menjadi antara faktor mengapa kegiatan penipuan terutamanya secara dalam talian terus berleluasa ketika ini.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari berkata, selagi wujud golongan yang dikenali sebagai keldai akaun itu, golongan ‘scammer’ akan terus mengambil kesempatan untuk menipu kerana tindakan sedemikian membantu mereka menjadi lebih sukar dijejaki.

Justeru katanya, orang ramai diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya membenarkan akaun mereka digunakan pihak lain meskipun dibayar untuk berbuat demikian kerana perbuatan sedemikian langsung tidak berbaloi dengan risiko yang ditanggung.

“Mereka perlu sedar bahawa tindakan sedemikian salah di sisi undang-undang dan jika tertangkap, mereka akan turut dihadapkan ke mahkamah dan boleh dikenakan tindakan.

“Akaun keldai ini sebenarnya mudah dikesan dan ia sekadar dijadikan platform untuk memindahkan wang hasil penipuan kepada scammer. Tak berbaloi langsung sebenarnya untuk mana-mana individu benarkan akaun mereka digunakan ketika mereka berdepan risiko besar untuk ditahan dan dihukum di mahkamah.

“Apatah lagi ketika ini kami giat mengesan keldai-keldai akaun sebagai salah satu langkah menurunkan kes-kes penipuan seperti Macau Scam dan Love Scam. Jika kita kurangkan jumlah keldai akaun, insya-Allah kita mampu menurunkan kadar penipuan di Kedah dan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program ‘Town Hall’ PDRM Kedah berkaitan ancaman ‘scammer’ di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Dalam pada itu kata Mohd. Roze, orang ramai perlu mengenal pasti serta mengetahui tanda-tanda awal penipuan.

Sebagai contoh katanya, pihak polis mahu pun agensi-agensi kerajaan biasanya tidak akan berhubung dengan mana-mana pihak menggunakan talian peribadi.

“Kalau terima panggilan daripada talian telefon pintar maka perlu berhati-hati. Biasanya pihak kami akan hanya berhubung dengan menggunakan talian rasmi pejabat.

“Jangan mudah terpedaya dengan pihak-pihak yang cuma minta maklumat peribadi secara dalam talian. Apatah lagi scammer cukup licik kerana mereka bijak untuk kenal pasti mangsa antaranya pelajar yang baru menerima biasiswa mahupun pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta golongan berpencen yang baru menerima gratuiti,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya