Kad elak ketirisan, tipu bantuan banjir

Kad elak ketirisan, tipu bantuan banjir

SAMSUDIN Hassan menunjukkan kad yang diserahkan kepada mangsa banjir untuk dipindahkan ke PPS di PPS SK Sinar Mutiara, Kampung Sungai Miang, Pekan, Pahang. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Jawatankuasa Banjir Kampung Sungai Miang di sini menggunakan sistem kad sebagai inisiatif bagi menguruskan mangsa banjir agar tidak tercicir dari menerima bantuan.

Sistem kad terbabit juga digunakan bagi mengelakkan berlaku ketirisan bantuan yang sepatutnya diagihkan kepada mangsa yang layak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Miang, Samsudin Hassan berkata, kejadian banjir di kampung itu merupakan perkara biasa berlaku setiap kali hujung atau awal tahun.

“Setiap kali banjir, saya sentiasa berdepan dengan pelbagai tohmahan dan rungutan penduduk kampung yang merasakan mereka tercicir daripada menerima bantuan.

“Malah ada antara mereka yang jika hendak diikutkan tidak perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) pun, namun berkeras untuk berpindah kerana mahu mendapatkan bantuan banjir.

“Justeru pihak jawatankuasa banjir kampung mengambil inisiatif menggunakan kad untuk diserahkan kepada mereka yang benar-benar perlu pindah sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Mutiara di Kampung Sungai Miang, di sini hari ini.

Samsudin berkata, kad terbabit buat julung kalinya diaplikasikan ketika berlaku banjir di kampung berkenaan pada 12 Disember lalu. 

“Kami berikan kad ini kepada pihak berkuasa untuk diserahkan kepada ketua keluarga yang betul-betul berkepentingan untuk dipindahkan ke PPS sahaja seperti rumah ditenggelami air atau yang memiliki warga emas, pesakit kronik atau ibu dan bayi yang baharu dilahirkan.

“Kemudian pasukan penyelamat akan datang ke rumah yang terjejas untuk mengambil mangsa yang diserahkan kad berkenaan untuk dibawa ke PPS,” katanya.

Tambahnya, ketua keluarga dipertanggungjawabkan memegang kad terbabit untuk membuat pendaftaran ketika di PPS sebelum diserahkan nombor bagi ditempatkan ke dalam khemah disediakan.

“Nombor itu kemudiannya akan digunakan untuk mencatat barangan yang diterima sepanjang berada di PPS memandangkan ada antara barangan yang terhad untuk sesebuah keluarga.

“Jika mereka mengadu tidak menerima barangan yang disediakan, kita sudah ada bukti yang direkodkan untuk setiap keluarga,” katanya.

Difahamkan penipuan yang dilakukan demi mendapatkan bantuan banjir terutama kewangan sering kali berlaku malah Samsudin berkata, ada yang sanggup menimbulkan fitnah mengatakan pihak jawatankuasa bertindak pilih kasih.

“Pihak jawatankuasa bencana banjir juga bersetuju dengan inisiatif yang kami lakukan ini dan mereka memaklumkan akan mengetengahkan inisiatif ini ke pihak atasan untuk diaplikasikan di tempat lain pula.

“Sistem yang kami guna ini lebih memudahkan untuk kami merekodkan jumlah mangsa yang benar-benar layak menerima bantuan selain bagi mengelakkan berlaku pertindihan nama.

“Ada antara mangsa yang sanggup menggunakan alamat berbeza untuk mendapatkan bantuan. Ada juga yang tidak menetap pun di kampung ini namun tetap memohon bantuan hanya kerana rumah di kampung terkena banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya