Pasukan AA Motorsports muncul juara, terus harumkan nama Perlis - Utusan Malaysia

Pasukan AA Motorsports muncul juara, terus harumkan nama Perlis

AZRUL Azhar Norbakari dan juruarah, Muhamad Irfan Noor Azman mewakili pasukan AA Motorsports -Darsa Lube Consertium Team dari Perlis terus mencipta sensasi apabila muncul juara bagi kategori M1 kejohanan Rally Sprint 2026 yang berlangsung pada 25 dan 26 April lalu di Tanamera Rally Park, Sungai Buloh.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pasukan AA Motorsports -Darsa Lube Consertium Rally Team dari Perlis terus mencipta sensasi apabila muncul juara bagi kategori M1 kejohanan Rally Sprint 2026 yang berlangsung pada 25 dan 26 April lalu di Tanamera Rally Park, Sungai Buloh.

Azrul Azhar Norbakari dan juruarah, Muhammad Irfan Noor Azman yang memandu jentera Proton Satria 1.3 disediakan oleh Darsa Lube Consortium Rally Team itu telah mempamerkan pemanduan cukup konsisten serta taktikal sepanjang perlumbaan berkenaan.

Kategori M1 menyaksikan persaingan sengit melibatkan empat buah jentera, termasuk Nazatul Shima Mamat yang memandu Proton Iriz mewakili Ftuned Rally Team; Nurhashriza Jamaluddin dengan Proton Satria dari Purnama Rally Team serta Wan Mohammad Nasir Wan Abdul Kadir yang memandu Toyota Corolla DX.

Kemenangan tersebut membuktikan keupayaan serta kesungguhan pasukan AA Motorsports dalam menghadapi cabaran rally yang kompetitif, sekali gus mengharumkan nama Perlis di pentas sukan permotoran negara.

Perlumbaan tersebut menggunakan laluan khas di Tanamera yang merangkumi tiga peringkat utama iaitu Tanamera satu sejauh 3.08 kilometer (km), Tanamera dua sejauh 1.84 km dan Tanamera tiga sejauh 5.07 km.

Setiap laluan mempunyai cabaran berbeza iaitu kombinasi jalan tanah laterit, selekoh teknikal sempit serta laluan beralun yang mencabar kawalan jentera dan ketahanan mental pemandu.

Selain itu, keadaan permukaan berdebu dan tidak sekata menambah tahap kesukaran, menjadikan ketepatan ‘pace note’ serta kerjasama antara pemandu dan juruarah sebagai faktor penting.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN