KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor Wan Rohimi Wan Daud menegaskan ada pihak cuba melaga-lagakan beliau dengan pihak polis susulan dakwaan memperlekehkan tugas pasukan itu semasa Konvoi dan Lepak Anak Muda Bersama YB-YB pada Sabtu lalu.
Wan Rohimi berkata, istilah ‘keno bbodo’ yang dilontarkan semasa menyampaikan ucapan di Lembah Sireh selepas konvoi itu tamat bukan bertujuan memperlekeh tugas polis.
“Orang Kelantan semua tahu ‘kena bbodo’ itu tipu muslihat (untuk memudahkan urusan) bukan makian. Maknanya bila polis buat sekatan jalan raya (SJR), kita bukan nak lari, tapi ‘outsmart’ supaya perjalanan konvoi tidak terganggu.
“Kalau lalu SJR, sudah tentu tak sampai ke mana-mana sebab faktor masa. Saya dah jelaskan pada pegawai penyiasat, jangan kecil hati, kita tak maki polis, tapi polis ini dilaga-lagakan oleh pihak tertentu,” katanya kepada pemberita selepas selesai memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini hari ini.
Terdahulu, Wan Rohimi memberikan keterangan lebih satu jam berhubung kenyataan beliau yang didakwa memperlekehkan tugas polis.
ADUN Melor itu memberitahu, rakaman video berhubung kenyataan tersebut diambil dari jauh dan bukan diambil oleh peserta konvoi.
Katanya, ia sebaliknya satu sabotaj yang cuba melaga-lagakan beliau dengan polis.
Mengulas lanjut, ADUN Melor itu merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan penyiasat yang mengendalikan siasatan dengan penuh profesional.
Katanya, beliau sudah menjawab semua soalan yang dikemukakan oleh pihak polis.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, polis membuka tiga kertas siasatan berhubung kenyataan seorang lelaki yang didakwa memperlekeh tugas pasukan keselamatan itu semasa berucap selepas selesai menyertai konvoi motosikal di sini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia melibatkan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Terdahulu, tular ucapan seorang individu yang didakwa mengandungi kata-kata memperlekeh tugas polis.
Individu itu didakwa berucap selepas selesai menyertai konvoi motosikal di sini kelmarin.
Sebelum itu, Wan Rohimi mendakwa sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa telah mengganggu kelancaran Konvoi dan Lepak Anak Muda Bersama YB-YB hari ini.
Menurut beliau, konvoi yang dianjurkan secara notis singkat itu berjaya menarik penyertaan lebih 500 penunggang, namun berdepan beberapa sekatan sepanjang laluan.-UTUSAN










