JDT sedia ‘naik taraf’ lagi

JDT sedia ‘naik taraf’ lagi- Tunku Mahkota Ismail

TUNKU MAHKOTA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) bersedia menambah kekuatan pasukannya dalam semua aspek dan tampil lebih ampuh pada saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) musim hadapan.

Meskipun langkah JDT terhenti di suku akhir ACLE musim ini, keputusan itu bukan penamat kepada cita-cita mereka, sebaliknya, ia menjadi pemangkin untuk memperkukuh skuad Harimau Selatan demi memburu kejayaan lebih besar di pentas Asia.

Perkara itu ditegaskan oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail, JDT tidak akan berhenti daripada terus berkembang, malah bersedia mempertingkatkan kekuatan dalam semua aspek termasuk barisan pemain, pengurusan dan fasiliti.

“Warna-warna ini tak akan pernah luntur. Perjalanan ini bakal terus berlanjutan, gerakan ini semakin berkembang dan empayar ini semakin kukuh.

“Saya minta maaf terlebih dahulu kepada pihak lain. Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjadikan JDT lebih kuat serta lebih besar dalam setiap aspek. Kami tidak akan berhenti,” tulisnya di laman sosial.

Kenyataan itu memberi bayangan bahawa JDT berkemungkinan melakukan rombakan dan penambahbaikan besar-besaran bagi menghadapi musim baharu, dengan sasaran utama untuk melangkah lebih jauh dalam ACLE selain terus mencipta sejarah kelab.

Dalam masa sama, fokus skuad Harimau Selatan ketika ini masih terarah kepada baki saingan domestik termasuk Liga Super, aksi final Piala Malaysia serta cabaran di separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).

Apa yang lebih mencuri perhatian, JDT kini berada dalam prestasi luar biasa apabila mencatat 105 perlawanan tanpa tewas dalam Liga Super, sekali gus menghampiri rekod dunia 108 perlawanan tanpa kalah milik sebuah kelab dari Ivory Coast.

Dengan dominasi yang semakin kukuh di peringkat domestik, tidak mustahil JDT akan terus menguasai saingan tempatan sambil membawa misi lebih besar untuk muncul sebagai kuasa sebenar bola sepak Asia.

Pada aksi suku akhir ACLE di Arab Saudi baru-baru ini, juara Liga Super 12 kali berturut-turut itu tewas 1-2 kepada Al Ahli yang kemudian muncul juara selepas menewaskan Machida Zelvia 1-0 di pentas final.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN