Jumlah senator Kerajaan Perpaduan ‘luar biasa’, cacatkan demokrasi

Jumlah senator Kerajaan Perpaduan ‘luar biasa’, cacatkan demokrasi

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jumlah senator bagi jawatan menteri dan timbalannya dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘luar biasa’ sekali gus mencacatkan amalan demokrasi di negara ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, biarpun Perdana Menteri mempunyai hak melantik sesiapa sahaja, lantikan senator kali ini lebih ramai bukan sahaja di peringkat menteri malah timbalannya.

“Melantik senator adalah perkara lazim bagi membolehkan Perdana Menteri memilih golongan profesional dan penjawat awam iaitu mereka yang pakar dan bukan dalam kalangan ahli politik. 

“Tetapi jumlah ahli politik yang kalah dilantik Datuk Seri Anwar agak luar biasa dan jika begitu mungkin tak perlu buat PRU (pilihan raya umum) selepas ini. 

“Saya tak kata orang kalah tak boleh dilantik (senator) tapi lazimnya jawatan senator untuk golongan profesional dan pakar. Kalau ada yang kalah itu seorang dua sahaja. Kali ini ramai,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini hari ini.

Seramai empat menteri dan dua timbalan menteri dilantik Senator Dewan Negara bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan penggal ini. 

Sebelum ini hanya dua Senator Dewan Rakyat yang lazimnya dilantik dalam kalangan golongan profesional dan pakar bidang tertentu bagi jawatan menteri dan timbalan. 

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Perikatan Nasional (PN) akan mengotakan janji untuk menjadi pembangkang yang konstruktif, profesional dan produktif.

Jelasnya, ia bukan sahaja di peringkat Pusat malah di peringkat negeri ini. 

“PN Pahang melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai ketua pembangkang sekali gus menubuhkan exco bayangan buat pertama kalinya di negeri ini.

“Kita tunggu Menteri Besar umum portfolio, kemudian kita akan umum barisan exco bayangan kita bagi mengukuhkan proses semak dan imbang.

“Begitu juga di Dewan Rakyat, akan wujud Kabinet bayangan bagi sebuah negara demokrasi supaya proses semak dan imbang berjalan teratur dan sistematik serta ada persaingan yang sihat di antara pihak kerajaan dan pembangkang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN