KUALA LUMPUR: Pelakon, Julia Farhana Marin selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihannya, Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum pada majlis pernikahan tertutup, 14 Disember lalu.
Khabar gembira itu dikongsi Julia menerusi beberapa gambar yang dimuat naik di Instagram, petang tadi.
“Saya ingin memaklumkan telah selamat bergelar isteri kepada Dr. Che Muhammad Hafiz. Di sini saya kongsikan beberapa gambar tidak rasmi sekitar majlis pernikahan kami yang dihadiri keluarga kedua-dua pihak.
“Kami memohon maaf kepada semua, termasuk rakan media kerana lewat memaklumkan perkara ini disebabkan kami menginginkan majlis yang hanya dihadiri keluarga terdekat.
“Saya dan suami memohon doa anda untuk menempuh kehidupan baharu ini. Terima kasih semua,” tulisnya di Instagram.
Pada 14 November lalu, Julia memaklumkan selamat bertunang dengan Che Hafiz dan merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat.
Che Hafiz sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Lufya Omar, namun bercerai pada 17 Jun 2020.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Laana Haura, 5.
Dalam pada itu, Che Hafiz, 32, turut memaklumkan perkara sama di Instagramnya.
“Alhamdulillah, akad nikah saya dan isteri berjalan lancar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia dimaklumkan Julia dan Che Hafiz baru pulang dari berbulan madu di Bali dan beberapa lokasi lain di Indonesia.