PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan mencadangkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan berkenaan.
Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, situasi politik semasa menuntut PN dipimpin oleh seorang pengerusi yang memiliki kewibawaan tinggi serta mampu mengemudi gabungan itu secara tersusun dan berkesan.
“Dalam landskap politik semasa yang semakin mencabar dan tidak menentu, PN memerlukan seorang pengerusi yang mempunyai autoriti moral yang kukuh, pengalaman politik yang luas serta keupayaan menyatukan parti-parti komponen secara berdisiplin dan berkesan.
“Dalam konteks ini, saya berpandangan bahawa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang merupakan tokoh paling layak, berwibawa dan strategik untuk diangkat sebagai Pengerusi PN yang baharu.
“Tuan Guru Abdul Hadi Awang memenuhi kesemua keperluan ini secara menyeluruh dan tidak boleh dipertikaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Daripada sudut prinsip dan amalan politik yang sihat, Mohamad Hanifah berkata, jawatan pengerusi PN wajar disandang oleh presiden parti komponen yang memiliki mandat tertinggi dalam struktur parti masing-masing.
Katanya, pelantikan individu selain daripada presiden bukan sahaja mencetuskan kekeliruan daripada segi autoriti kepimpinan malah berisiko melemahkan rantaian pentadbiran, menyukarkan penyelarasan gabungan serta menjejaskan keberkesanan pembuatan keputusan strategik.
“Pengerusi PN mestilah seorang tokoh yang mempunyai penerimaan melangkaui batas kaum dan latar masyarakat agar PN kekal sebagai gabungan nasional yang inklusif, stabil dan diyakini rakyat.
“Dalam hal ini, kedudukan Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai tokoh nasional yang dikenali, dihormati dan disegani menjadikan beliau aset penting kepada kekuatan serta kredibiliti PN,” katanya. – UTUSAN










