Jual buku tajwid karya sendiri bagi tanggung kos pengajian - Utusan Malaysia

Jual buku tajwid karya sendiri bagi tanggung kos pengajian

IZRAN Mohamad Saaban (dua dari kanan) menunjukkan buku Ringkasan Ilmu Tajwid Al-Quran yang dihasilkannya kepada Md Amin Md. Taff sempena majlis Istiadat Konvokesyen UPSI ke-24 di Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN/IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Banyak kos yang perlu ditanggung semasa di universiti memberi inspirasi kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam Dengan Kepujian, Izran Mohamad Saaban, 27, untuk menghasilkan buku ‘Ringkasan Ilmu Tajwid Al-Quran’.

Izran, anak sulung daripada enam beradik yang memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.89 menerima Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti sempena majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-24 yang disampaikan Canselor, Tuanku Zara Salim di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

Dia yang juga berkelulusan Diploma Pengajian Islam di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (kini Kolej Universiti), begitu aktif bersama Sahabat Ulul Albab UPSI sebagai Timbalan Yang Dipertua dan Persatuan Pendidikan Islam sebagai Exco Dakwah pada 2018.

Anak kepada pesara pekerja am rendah sebuah sekolah rendah, Mohamad Saaban Abdul Rahman, 60, dan Guru Kafa, Rodiah Abdullah, 52, di Kampung  Sat Hilir, Tanah Merah, Kelantan ini pernah mendapat didikan di Markaz Nile, Kaherah di Mesir selama setahun dalam pengajian Bahasa Arab dan Talaqqi Al-Quran.

“Menyedari saya bukanlah daripada keluarga yang senang dan banyak kos yang perlu ditanggung semasa belajar, duit pinjaman mampu menampung kos kehidupan untuk belajar, maka berbekalkan sedikit kemahiran dan modal dari tabung pinjaman pendidikan, dengan bantuan rakan-rakan, saya menghasilkan karya penulisan ringkas tentang ilmu tajwid.

“Alhamdulillah, Ringkasan Ilmu Tajwid Al-Quran yang saya tulis sudah terjual lebih 17,000 naskah sepanjang empat tahun pengajian di UPSI sekali gus dapat membantu menampung kos hidup semasa,” katanya di sini.

Izran menjual buku berkenaan secara dalam talian dan aktif menerima jemputan seminar tajwid di sekitar kawasan setempat dan turut mengadakan kelas menerusi platform Zoom.

Katanya, semasa belajar, pada siang harinya menuntut ilmu, hadir ke kuliah, membuat tugasan dan pada malamnya bersengkang mata menghasilkan buku dan mencari rujukan.

Menurutnya, sungguhpun begitu, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai mahasiswa dan bertekad untuk mendapatkan kecemerlangan akademik sama seperti rakan-rakan lain.

“Saya bersyukur buku yang dihasilkan itu sudah memanfaatkan belasan ribu umat Islam di negara ini dan nusantara dan memenuhi niatnya untuk membantu masyarakat membaca kitab suci al-Quran dengan baik dan lancar,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff melahirkan rasa bangga dengan kreativiti Izran yang mengamalkan budaya keusahawanan semasa belajar.

“Sememangnya Izran layak untuk menerima Anugerah Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti, malah hasil karyanya itu sangat bermanfaat untuk masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya