JAS mohon ulasan awam projek pelabuhan baharu di Melaka

JAS mohon ulasan awam projek pelabuhan baharu di Melaka

IMEJ gambaran bentuk pelabuhan baharu Melaka dan terminal pelayaran antarabangsa di Pulau Melaka. - IHSAN KERAJAAN NEGERI MELAKA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) memohon kerjasama orang awam memberi ulasan Penilaian Kesan Alam Sekeliling untuk dua projek pelabuhan baharu di Melaka.

Menerusi hantaran dalam laman sosial rasminya, agensi itu memaklumkan bahawa ia bakal melibatkan dua bidang tanah yang keseluruhannya berkeluasan hampir 482 hektar.

“Projek tiga fasa penebusgunaan ini dijangka memberi impak positif dan negatif terhadap alam tetapi langkah mitigasi sudah diperincikan dalam laporan EIA tersebut,” jelasnya.

Berdasarkan hantaran itu lagi, penggerak projeknya, Far East (Melaka) Sdn. Bhd. bercadang memajukan pelabuhan serba guna laut dalam dan terminal pelayaran antarabangsa.

Usaha penebusgunaan tanah akan dibangunkan dalam kawasan dikenali sebagai Bandar XLIII dan XLVI serta Pulau Melaka yang kesemuanya terletak di Daerah Melaka Tengah.

Lokasi projek ini ujar JAS, berada di perairan Selat Melaka dengan kawasan pelabuhan yang dicadangkan itu berhadapan Sungai Punggor dan Sungai Duyong seluas 461 hektar.

Sementara tapak terminal pula terletak di barat daya Pulau Melaka yang seluas 20 hektar dengan boleh diakses menerusi Jalan Baiduri 8 dan bersambung Laluan Persekutuan 5.

Mengulas lanjut, JAS berkata, projek ini selaras dengan Pelan Strategik Melakaku Maju 2035 selain meluaskan pasaran pelancongan antarabangsa di negeri berkenaan.

“Bandar pelabuhan baharu ini turut dijangka mewujudkan rangkaian infrastruktur maritim serta mencipta peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Uniknya, kawasan itu juga tidak jauh daripada projek penambakan laut seluas 40 hektar di lokasi dirujuk sebagai Bandar XLIV yang dimajukan pembangunan hartanah bercampur.

Apabila siap kelak, ia akan mencipta koridor ekonomi baharu menjana tambahan 6,000 tenaga kerja selain menarik jutaan pelancong asing datang bercuti melalui kapal persiaran.

Ketika ini, pelabuhan negeri itu terletak di Tanjung Bruas, kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar raya Melaka yang dibuka sejak 1978 dan bersebelahan dengan lebih 500 kilang.

Ringkasan eksekutif dan laporan EIA projek ini boleh diperoleh dari Perpustakaan JAS di ibu pejabatnya di Aras 1, Wisma Sumber Asli, Presint 4 di sini sehingga 18 Januari depan.

Dokumen itu juga ada disediakan pihak JAS Negeri Melaka di Menara Persekutuan, Ayer Keroh selain Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan Melaka Waterfront Economic Zone.

Ulasan bertulis ini perlu diserahkan sebelum atau pada 2 Februari 2023 dan orang awam juga boleh menghubungi Far East di Taman Abad, Johor Bahru, Johor pada hari bekerja.

Malahan ringkasan boleh didapati dan dikemukakan ulasan kepada jururunding EIA projek tersebut iaitu Dr. Nik & Associates Sdn. Bhd. di Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya